KOTA KINABALU, 17 April — Golongan B40 dan M40 serta individu bujang tidak perlu merasa tercicir jika tidak menerima bantuan tambahan seperti pemberian bakul makanan kerana masih terdapat banyak bantuan lain diperkenalkan kerajaan Persekutuan untuk manfaat semua rakyat.
Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Abdul Rahim Bakri berkata pemberian bakul makanan itu adalah dikhususkan untuk keluarga miskin tegar, penerima e-Kasih, warga emas, golongan orang kurang upaya, pesakit dan golongan mudah terjejas lain.
“Justeru, tidak ada sebab (golongan B40 dan M40 serta individu bujang) merasa tercicir (jika tidak mendapat bantuan bakul makanan),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Abdul Rahim berkata tidak ada rakyat yang akan tercicir daripada menerima bantuan kerajaan Persekutuan kerana terdapat pelbagai jenis bantuan lain diperkenalkan termasuk menerusi Bantuan Prihatin Nasional, selain kemudahan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Akaun 2.
Selain itu, rakyat turut menikmati penangguhan bayaran hutang, pengurangan bil elektrik dan pengecualian caj RM1 antara bank di mesin pengeluaran automatik, katanya.
“Bantuan Sara Hidup (BSH) juga masih diteruskan. Oleh itu, kita perlu bersyukur selain berbelanjalah secara berhemah untuk perkara yang perlu sahaja dan #stayathome,” katanya.
Sumber: BERNAMA