Pelaksanaan peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) di seluruh negara yang sepatutnya dijadualkan pada 28 September hingga 1 Oktober tahun ini adalah dibatalkan.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pembatalan tersebut dibuat berdasarkan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini yang turut membatalkan peperiksaan UPSR dan PT3 serta menangguhkan SPM, SVM, STPM dan STAM ke tahun 2021.
“Keputusan ini adalah untuk memastikan keselamatan murid-murid terjamin.
“Bagaimanapun pembatalan UPKK tidak akan menjejaskan penilaian terhadap penguasaan murid setelah mengikuti pendidikan KAFA bermula tahun satu (1) hingga enam (6) di peringkat rendah.
“Kemenjadian murid dalam pendidikan KAFA boleh dinilai daripada pelbagai kaedah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Zulkifli, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menetapkan satu kaedah pentaksiran baharu bagi menggantikan ujian bertulis tersebut.
Selain itu, pembukaan sesi persekolahan KAFA di seluruh negara juga akan dibuat mengikut ketetapan KPM.
KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JPM (HAL EHWAL AGAMA)
PEMBATALAN UJIAN PENILAIAN KELAS KAFA (UPKK) BAGI TAHUN 2020 pic.twitter.com/TFCQRyyIfP
— Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (@drzul_albakri) April 17, 2020
Sumber: Twitter