Siakap Keli
Kredit: Google

COVID-19: P. Pinang Bakal Diisytihar Zon Hijau Jika Tiada Pertambahan Kes Dalam 14 Hari

GEORGE TOWN, 18 April (Bernama) — Pulau Pinang bakal diisytihar sebagai zon hijau atau sifar kes COVID-19 sekiranya tiada pertambahan kes di semua daerah dalam tempoh 14 hari.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata setakat ini, negeri itu telah mencatatkan hari keempat sifar kes COVID-19.

“Saya dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang pagi ini bahawa berdasarkan pemantauan pelaporan kes COVID-19 untuk tempoh 14 hari bagi Negeri Pulau Pinang, sekiranya tiada pertambahan kes, semua daerah di Pulau Pinang akan menjadi zon hijau pada 27 April 2020,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook peribadi beliau hari ini.

Bagi peringkat daerah, beliau berkata jika tiada pertambahan kes, Daerah Seberang Perai Selatan akan menjadi daerah pertama mencapai status zon hijau pada 21 April 2020.

Bagaimanapun, Chow mengingatkan semua pihak agar terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga keadaan betul-betul selamat.

Jangan rileks dulu

“Walaupun negara kita secara amnya masih mempunyai kes-kes baru setiap hari, namun kenaikan sudah berada di bawah paras 100 kes setiap hari berbanding sebulan lalu. Kita jangan rileks dulu. Teruskan usaha untuk mematuhi PKP sehingga kita betul-betul sudah selamat. Duduk di rumah, kurangkan pergerakan luar,” katanya.

Mengulas isu penutupan kilang pakaian di Pulau Pinang, Chow berkata kerajaan negeri melalui Pusat Bantuan Kerjaya dan Bakat Pulau Pinang telah mengambil langkah untuk menguruskan pemadanan serta penempatan semula pekerjaan kepada kakitangan mereka di negeri itu.

Beliau berkata baru-baru ini, Kumpulan Esquel dan Pen Apparel Pulau Pinang (PAP) telah mengumumkan akan menghentikan operasi kilang mereka di negeri itu.

“Kerajaan negeri akan meneliti keperluan pihak berkaitan pada kadar segera termasuk penempatan pekerja warga tempatan,” katanya.

Chow berkata Pulau Pinang masih mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri itu kerana sektor pembuatan telah merekodkan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM13.3 bilion dalam bentuk pelaburan diluluskan.

“Pelaksanaan pelaburan ini sudah pun bermula dan InvestPenang (iP) menjangkakan bahawa kita akan mewujudkan kira-kira 13,000 peluang pekerjaan baharu hasil pelaksanaan pelaburan ini,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.