Siakap Keli

Polis Serbu Tiga Banglo Jadi Pusat Judi Dalam Talian, 54 Warga China Ditahan

PUCHONG, 17 April — Polis menyerbu pusat panggilan kegiatan judi dalam talian yang beroperasi di tiga buah banglo di Batu 14, Puchong di sini hari ini (semalam) dan menahan 54 individu termasuk empat wanita.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata kesemua suspek warga China berusia antara 18 hingga 54 tahun itu ditahan oleh anggota Bahagian Anti Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) pukul 3.30 petang tadi.

Katanya, pemeriksaan di kesemua banglo tiga tingkat itu membawa kepada penemuan 60 komputer, 313 telefon bimbit, enam modem serta tujuh unit penghala.

“Kesemua suspek tinggal di rumah ini dengan tingkat bawah dijadikan ruang untuk makan, tingkat dua untuk tidur dan tingkat atas untuk bekerja.

“Mereka ini mempromosi kegiatan judi dalam talian menerusi aplikasi WeChat,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati, pusat panggilan judi itu telah beroperasi sejak tiga bulan lepas.

“Pelanggan mereka adalah warga China dan keuntungan yang dicatat sehari adalah RM350,000. Polis juga mendapati banglo ini disewa dengan harga RM3,000 hingga RM4,000 sebulan,” katanya.

Menurut Huzir polis sedang mengesan pemilik banglo berkenaan serta individu yang menghantar makanan kepada mereka.

Huzir berkata kesemua suspek akan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya untuk siasatan lanjut.

“Pemeriksaan kesihatan mustahak kerana kita (polis) tidak mahu bawa suspek tidak sihat ke lokap, jika positif (COVID-19) ia akan merebak ,” katanya.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.