Siakap Keli

Dilantik Jadi Polis Ketika COVID-19 Sedang Merebak, Pemuda Ini Nekad Sedekah Gaji Pertamanya Bantu Keluarga Terjejas

Baru dilantik menjadi anggota Polis Republik Indonesia pada 23 Mac yang lalu, ketika negaranya sedang berdepan dengan pandemik COVID-19, Bripda Nikolaus Irsan Tapobali mempunyai cara tersendiri untuk meraikan gaji pertamanya.

Menurut laporan Terkini ID, anggota polis yang mesra disapa sebagai Irsan, memilih untuk menggunakan wang tersebut bagi membeli barang keperluan dan diagihkan kepada keluarga yang tersepit dengan wabak berkenaan.

Meraih pendapatan sebanyak Rp 7.8 juta (Rp 1000 = RM 0.28), antara lain yang dibantu menggunakan hasil titik peluhnya itu adalah ibu tunggal dan warga emas di sekitar kampungnya.

Penduduk-penduduk nyata terharu dan tidak dapat menyimpan air mata apabila mengetahui Irsan menggunakan wang gaji pertamanya untuk membantu mereka. Malah pemuda ini turut mengagihkan topeng muka secara percuma.

”Semoga Irsan terus berjaga dalam hidupnya dan melindungi masyarakat,” kata salah seorang yang menerima bantuan dari polis berkenaan.

Menurut ibu Irsan, inisiatif ini merupakan idea anaknya sendiri yang ingin menunjukkan rasa syukur dengan memberi kembali kepada masyarakat.

”Saya dilantik menjadi anggota polis adalah berkat doa mereka yang tidak mampu di sekeliling saya. Semoga bantuan yang sedikit ini dapat meringankan beban mereka semua,” kata Irsan.

Sumber: Terkini ID

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.