Siakap Keli
Kredit: Bernama

PKP: Wakil Rakyat Dibenar Keluar Bertemu Rakyat, Tapi Tak Boleh Buat Rombongan Atau Jamuan Makan Beramai-Ramai- Menteri

Putrajaya, 19 April – Menteri Kanan (Bahagian Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, wakil rakyat dibenarkan untuk bertugas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Antara SOP yang perlu dipatuhi adalah tiada perjumpaan, jamuan besar-besaran dan rombongan kereta untuk turun padang.

“Wakil rakyat adalah antara individu atau kumpulan yang dibenarkan bertugas seperti jabatan-jabatan kerajaan yang masih lagi menjalankan tugas mereka.

“Tugas mereka adalah menjaga kepentingan rakyat di kawasan masing-masing. Wakil rakyat dibenarkan tetapi masih tertakluk kepada SOP.

“Tidak boleh adakan perjumpaan besar-besaran, program serah bantuan besar-besaran tidak dibenarkan, jamuan besar-besaran tidak dibenarkan.

“Tidak perlu rombongan kereta yang banyak, cukup 2 atau 3 orang mengikuti rombongan untuk bahagikan makanan, bantuan lain dan sebagainya,” katanya.

Namun katanya, adalah lebih baik menggunakan ‘frontliner’ di kawasan masing-masing seperti RELA, tentera dan sebagainya yang telah ditetapkan MKN.

“SOP telah kita keluarkan kepada wakil-wakil rakyat ,ahli-ahli Parlimen dan DUN,” ujarnya, menegaskan setiap orang perlu mematuhi SOP.

Tambahnya, susulan insiden orang kenamaan didakwa ingkar PKP sebelum ini, pihak polis telah memanggil individu berkenaan dan tindakan seterusnya bergantung kepada pihak polis.

“Isu berkaitan VVIP yang disebarluas semalam, suka saya maklumkan bahawa tiada siapa akan terlepas dari tindakan undang-undang jika ingkar arahan PKP.”

“Yang pasti, wakil rakyat keluar berjumpa rakyat adalah dibenarkan, tetapi mesti mematuhi SOP,” katanya lagi.

Sumber: RTM

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.