Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Jumlah Rakyat Malaysia Berdaftar Dengan Kedutaan Di AS Masih Terlalu Rendah – Duta Besar

KUALA LUMPUR, 20 April  — Jumlah rakyat Malaysia di Amerika Syarikat yang berdaftar dengan Kedutaan masih terlalu rendah berbanding jumlah sebenar berdasarkan statistik Kerajaan Amerika Syarikat.

Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Azmil Mohd Zabidi berkata setakat ini hanya hampir 26,000 rakyat Malaysia yang telah berdaftar dengan kedutaan, termasuk lebih 1,200 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di negara itu.

“Hanya lebih kurang 20 peratus pelajar telah berdaftar. Oleh itu, pihak kedutaan tidak mempunyai maklumat yang lengkap mengenai jumlah kesemua rakyat Malaysia di sini.

“Kepada rakyat Malaysia di Amerika Syarikat yang masih belum berbuat demikian, segeralah mendaftarkan diri anda dengan pihak Kedutaan, agar kami dapat menyalurkan maklumat-maklumat penting atau informasi terkini dengan sewajarnya,” katanya menerusi temubual Skype langsung dari Washington DC, Amerika Syarikat di Buletin Bernama Jumaat malam.

Saluran komunikasi melalui email adalah amat penting supaya rakyat Malaysia mendapat informasi yang sahih dan tepat selain dapat memudahkan pihak kedutaan menghubungi mereka dengan segera sekiranya terdapat sebarang kecemasan, tambah beliau menerusi maklum balas emel dengan Bernama.

Sementara itu, Azmil berkata rakyat Malaysia yang masih berada di Amerika Syarikat dan ingin pulang ke tanah air masih boleh berbuat demikian menggunakan penerbangan komersil.

Pada awal bulan Mac, Kedutaan telah mengeluarkan nasihat (Advisory) supaya mereka yang tidak mempunyai sistem sokongan seperti sumber kewangan yang mencukupi dan perlindungan insurans yang komprehensif untuk pulang ke Malaysia secepat mungkin.

“Alhamdullilah, ramai rakyat Malaysia telah mengikuti nasihat pihak Kedutaan dan berjaya pulang ke Malaysia dengan selamat,” katanya.

Azmil berkata pihak Kedutaan juga sentiasa memantau keadaan pelajar-pelajar Malaysia yang berada di sana.

Pihak Kedutaan melalui Education Malaysia dengan kerjasama persatuan pelajar Malaysia di Amerika iaitu NAMSA, telah berjaya membantu ramai pelajar Malaysia yang tidak mempunyai penginapan berikutan keputusan universiti untuk mengosongkan asrama mereka, katanya.

“Antaranya ialah Inisiatif Penginapan Kecemasan (Emergency Accommodation Initiative), di mana pelajar yang menghadapi masalah penginapan boleh berhubung terus dengan pihak NAMSA atau pihak Kedutaan bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

Disoal mengenai kekangan dihadapi pihak Kedutaan, Azmil berkata antaranya kekurangan bekalan seperti topeng muka, pembersih tangan, tisu beralkohol dan sarung tangan di pasaran, yang amat penting bagi membantu mengurangkan risiko jangkitan kepada petugas-petugas barisan hadapan Kedutaan.

“Kita juga menerima banyak permintaan dari rakyat Malaysia di Amerika Syarikat agar membekalkan topeng muka kepada mereka,” katanya.

Azmil berkata inisiatif Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di dalam melancarkan Malaysia’s Diplomatic Equipment Stockpile (MDES) amatlah dialu-alukan bagi melindungi kakitangan Kedutaan yang meneruskan kerja mereka dalam memberi perkhidmatan konsular yang amat diperlukan.

Selain itu, saiz Amerika Syarikat yang luas juga antara kekangan dihadapi pihaknya untuk melawat atau bertemu secara langsung dengan rakyat Malaysia yang tinggal jauh dari kawasan Kedutaan atau pejabat Konsulat.

“Walau bagaimanapun, pihak Kedutaan, Konsulat di New York dan Los Angeles mempunyai talian hotline yang beroperasi 24 jam dan juga emel di mana rakyat Malaysia yang mempunyai masalah boleh menghubungi kami,” katanya.

Selain itu, pihak Kedutaan juga sentiasa menyampaikan maklumat terkini melalui laman web atau media sosial.

Jumlah kes dan kadar kematian COVID-19 di Amerika Syarikat pada masa ini adalah yang tertinggi di dunia, iaitu melebihi setengah juta kes, dan lebih dari 20,000 kematian.

Namun, jika dibandingkan dari segi jumlah penduduk, kadar kes dan kematian COVID-19 di Amerika Syarikat berdasarkan populasi sebenarnya jauh lebih rendah dari negara-negara di Eropah, katanya,

Azmil berkata setakat ini, tiada kematian atau kes positif COVID-19 di kalangan rakyat Malaysia dilaporkan.

“Saya menyeru agar semua rakyat Malaysia di Amerika Syarikat agar sentiasa menjaga diri dan mematuhi langkah-langkah pencegahan yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan tempatan demi keselamatan dan kebajikan mereka,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Adib Mohd