Siakap Keli

Bapa Mengaku Salah Tumbuk Muka, Cekik Leher Anak Perempuan

KUALA LUMPUR, 21 April — Seorang bapa mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menumbuk muka dan kepala serta mencekik leher anak perempuannya yang berumur 13 tahun minggu lepas.

Bapa berusia 52 tahun itu, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai tukang paip didakwa dengan sengaja menganiaya kanak-kanak perempuan itu, dengan cara menumbuk ke arah muka dan kepala, menarik rambut serta mencekik lehernya, di sebuah rumah di Setapak Jaya di sini pada 8 malam, 14 April lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Annur Atikah Abd Hadi memohon tarikh lain bagi membolehkan pendakwaan menyediakan fakta kes, sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Annur Atikah juga mencadangkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan RM1,000 atas alasan dia  penanggung tunggal keluarga, yang menyara empat anak serta isterinya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 6 Mei untuk mendengar fakta kes dan menjatuhkan hukuman.

— BERNAMA

Nur Farra