Siakap Keli
Gambar:BERNAMA

Mahkamah Tetapkan Tarikh Baharu Untuk Penghujahan Penutup Kes Pembunuhan Kevin Morais

KUALA LUMPUR, 21 April  — Tarikh penghujahan penutup pihak pembelaan dalam kes pembunuhan timbalan pendakwa raya, Datuk Anthony Kevin Morais, yang mayatnya ditemui dalam tong berisi konkrit lima tahun lepas, ditangguhkan berikutan lanjutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah sebelum ini menetapkan 17 April sebagai tarikh mendengar penghujahan lisan dari kedua-dua pihak.

Timbalan pendakwa raya  Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata mahkamah memutuskan 14 Mei ini sebagai tarikh sebutan.

“Pada hari berkenaan (14 Mei) mahkamah akan menetapkan tarikh baharu bagi mendengar penghujahan lisan,” katanya semasa ditanya mengenai tarikh baharu bagi kes itu.

Pada 20 Nov 2017, Hakim Azman memerintahkan supaya enam lelaki membela diri terhadap pertuduhan membunuh Morais selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Pakar patologi Kolonel Dr R.Kunaseegaran, 57, pemberi pinjaman wang S.Ravichandran, 49, serta empat pengangur R. Dinishwaran, 28; A.K Thinesh Kumar, 27; M.Vishwanath, 30; dan S. Nimalan, 27, dituduh membunuh Kevin ketika perjalanan dari Jalan Dutamas Raya, di sini, ke nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya, antara pukul 7.00 pagi dan 8.00 malam pada 4 Sept 2015.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama dengan Seksyen 34, dan berhadapan dengan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kunaseegaran sebelum ini didakwa bersama dengan lima lelaki melakukan kesalahan itu pada tarikh, masa dan tempat yang sama, namun pada 15 Mei 2017, pertuduhan itu dipinda kepada mempunyai niat yang sama dengan lima lelaki berkenaan dalam pembunuhan Morais.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story