Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Pasar Borong Kuala Lumpur Ditutup Empat Hari Untuk Sanitasi

PUTRAJAYA, 21 April  — Penutupan Pasar Borong Kuala Lumpur selama empat hari bermula hari ini adalah untuk proses sanitasi di kawasan berkenaan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata tujuan sanitasi dilakukan di pasar berkenaan adalah bagi memastikan peniaga, pemborong mahupun pelanggan tidak dijangkiti COVID-19 sewaktu melakukan urus niaga di situ.

“Tujuan penutupan tersebut bukan selama 14 hari sama seperti tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), tetapi kita hanya menutup selama empat hari supaya proses sanitasi boleh dilaksanakan di sana,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini hari ini.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan peniaga dan pemborong di pasar borong itu tidak dijangkiti wabak COVID-19.

Ditanya mengenai kegusaran masyarakat berhubung kemungkinan berlaku kekurangan bekalan barang basah di pasaran berikutan penutupan pasar borong itu, Ismail Sabri berkata perkara itu tidak berlaku kerana orang ramai masih boleh mendapatkan bekalan barang basah dari pasar-pasar berhampiran yang masih  beroperasi.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata pengamal media perlu mengikuti nasihat dan saranan KKM sewaktu membuat liputan di kawasan PKPD bagi memastikan keselamatan dan kesihatan mereka terjamin.

“Bagaimanapun, saya akan bincang dengan pihak polis kalau berada di tepi kawat besi dianggap selamat, dan juga kalau KKM kata perlu berada 300 meter, maka perlulah berada 300 meter. Kita semua sayang kepada pengamal media,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas keluhan petugas media yang membuat liputan di kawasan PKPD, yang perlu berada dalam jarak 200 hingga 300 meter dari kawasan berkenaan.

Kepada soalan berhubung dakwaan pekerja yang dipaksa mengambil cuti tanpa gaji oleh majikan selama enam bulan, Ismail Sabri berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sumber Manusia untuk melihat akta yang berkaitan dengan perkara itu.

Dalam pada itu, beliau menyeru penganjur bazar Ramadan untuk memulangkan bayaran deposit kepada peniaga memandangkan bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi tahun ini.

Mengambil contoh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang dilaporkan akan mengembalikan deposit yang telah dibayar oleh peniaga bazar Ramadan di ibu negara, Ismail Sabri turut menyeru penganjur bazar lain untuk mengikut langkah sama.

Berhubung soal semakan Bantuan Prihatin Nasional oleh golongan Orang Kurang Upaya, beliau menyarankan mereka atau waris untuk menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat atau merujuk kepada pemimpin komuniti seperti ketua kampung di kawasan masing-masing bagi tujuan itu.

Sumber: BERNAMA

Adib Mohd