Siakap Keli
Gambar: Bernama

Rembau Jadi Lokasi Zon Merah Pertama Rekod Tiada Kes Aktif COVID-19, Setakat Tengah Hari Semalam

Daerah Rembau di Negeri Sembilan, yang juga antara 30 Zon Merah COVID-19, menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila tiada kes aktif wabak itu direkodkan setakat tengah hari semalam

Menurut infografik Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM) yang dikongsi melalui media sosial rasmi KKM hari ini, jumlah keseluruhan Zon Merah COVID-19 di seluruh negara turut kekal dengan 30 daerah.

Data itu juga menunjukkan bilangan lokasi Zon Merah dengan jumlah kes aktif lebih 40, menurun kepada 13 daerah semalam, berbanding 17 daerah pada Ahad.

Daerah terlibat ialah Petaling, Hulu Langat, dan Klang, Selangor; Kepong, Lembah Pantai dan Titiwangsa, Kuala Lumpur; Melaka Tengah, Melaka; dan Seremban, Negeri Sembilan; Kuantan, Pahang; Johor Bharu dan Kluang, Johor serta Kuching dan Kota Samarahan, Sarawak.

Sementara itu, tujuh Zon Merah dengan kes aktif antara 21 hingga 40 melibatkan Gombak, Selangor; Cheras, Kuala Lumpur; Putrajaya; Jasin, Melaka; Kulai dan Muar, Johor; dan Tawau di Sabah.

Sebanyak sembilan Zon Merah pula merekodkan kes aktif 1 hingga 20 iaitu Kota Bharu, Kelantan; Hilir Perak dan Kinta, Perak; Sepang dan Hulu Selangor, Selangor; Batu Pahat, Johor; Jerantut, Pahang; serta Kota Kinabalu dan Lahad Datu, Sabah.

Zon Merah mewakili jumlah positif COVID-19 melebihi 41 kes, Zon Jingga (21-40 kes), Zon Kuning (1-20 kes) dan Zon Hijau tiada kes.

Selangor masih mencatat bilangan kes positif COVID-19 tertinggi dengan 1,345 kes.

Sumber: Bernama /KKM

Aqmal Ezany

I write what is right