Siakap Keli

UUM Hasilkan Cecair Pensanitasi Tangan Untuk Barisan Hadapan

ALOR SETAR, 21 April – Universiti Utara Malaysia (UUM) menghasilkan cecair pensanitasi tangan dengan menggunakan formula Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk diedarkan kepada petugas barisan hadapan dalam membantu mereka memerangi COVID-19.

Inisiatif menghasilkan cecair tersebut dilaksanakan Pusat Inovasi dan Pengkomersilan universiti itu dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Pembangunan dan Inovasi Keselamatan Makanan (FInDER) UUM.

Pengarah FInDER Dr Risyawati Mohamed Ismail berkata pihaknya menyasarkan untuk menghasilkan sebanyak 2,000 botol cecair itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Bahan untuk menghasilkan cecair pembasmi kuman ini dibekalkan oleh badan bukan kerajaan iaitu Inovasi Global menerusi Sains dan Teknologi (GIST) dan penghasilannya dilakukan dengan bantuan tiga pensyarah bersama dua pelajar.

“Setiap botol pensanitasi tangan ini dihasilkan mengikut spesifikasi WHO yang tidak mempunyai sebarang campuran bahan lain yang tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan UUM di sini hari ini.

Risyawati berkata selain petugas barisan hadapan, pensanitasi tangan itu juga akan dibekalkan kepada golongan B40 di negeri ini.

Katanya pihaknya juga akan berusaha untuk membekalkan pensanitasi tangan itu secara berterusan walaupun selepas tempoh PKP tamat sebagai sebahagian daripada khidmat UUM kepada masyarakat.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang