Seorang lelaki di Jawa Tengah, Indonesia dilaporkan nekad cuba untuk membunuh dirinya selepas kehadirannya ditolak oleh keluarganya sendiri gara-gara takut dijangkiti virus Covid-19.
Difahamkan, mangsa telah diusir oleh isterinya sendiri serta penduduk setempat kerana fobia akan virus Covid-19.
Menurut ketua polis Cepu, AKP Agus Budiyana, selain daripada mangsa dihalau kerana dikhuatiri membawa virus Covid-19 kerana datang daripada zon merah, ada masalah peribadi lain yang terjadi di antara mangsa dan isterinya.
“Mangsa ini berasal dari Surabaya dan mempunyai isteri dan anak di Karangboyo,” kata Agus ketika dihubungi Kompas.com.
Menurut Agus, sejak kebelakangan ini rumah tangga mangsa dan isterinya tidak berapa baik kerana mangsa tidak mempunyai pekerjaan yang tetap.
Dalam pada itu juga, penduduk setempat tidak berapa suka dengan perkahwinan keduanya ini bersama isterinya itu.
Kemarahan mula memuncak ketika mangsa cuba untuk menemui isteri dan anak-anaknya di tengah-tengah musim wabak pandemik Covid-19 ini.
“Disebabkan itulah keluarga dan penduduk setempat menghalau mangsa kerana takut virus Covid-19. Namun atas sebab lain, isterinya juga telah menolak mangsa kerana masalah rumah tangga yang tidak diselesaikan. Penduduk setempat juga kurang senang dengan perkahwinan kedua mangsa ini,” kata Agus.
Penolakan tersebut telah mencetuskan rasa kecewa terhadap diri mangsa sehingga dia akhirnya nekad untuk mengakhiri hidupnya dengan meminum cecair pembasmi kuman serta mengelar tangannya menggunakan objek tajam.
“Mangsa telah dibawa ke RSUD Dr. R Soeprapto Cepu untuk dirawat dan dilaporkan dalam keadaan stabil. Kami rasa pengusiran itu wajar dilakukan kerana keadaan wabak virus yang sedang melanda dunia kini,” jelas Agus.
Selepas dia cuba membunuh dirinya, mangsa telah ditemui terbaring berlumuran darah di sebuah kaki lima yang terletak di Jambatan Bengawan Solo di wilayah Cepu.
Percubaan membunuh diri seorang lelaki di perbatasan Jawa Tengah dan Jawa Timur itu lantas diketahui penduduk setempat dan telah menjadi buah mulut orang ramai.
Sejumlah saksi yang menyedari kejadian tersebut segera melaporkan kepada pihak polis.
Pihak polis Cepu yang menerima laporan tersebut kemudiannya terus bergegas ke tempat kejadian untuk membawa mangsa ke hospital.
“Kerana masih lagi bernyawa, mangsa terus dikejarkan ke hospital wilayah Cepu dengan menggunakan ambulans,” kata Agus.
Sumber: Tribun