Siakap Keli
Gambar: Google

Hanya Bakal Pengantin Hubungi JAIS Mohon Kebenaran Nikah

SHAH ALAM, 22 April  — Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) meminta kerjasama semua pihak supaya hanya pasangan yang ingin memohon kebenaran khas majlis akad nikah sahaja menghubungi jabatan itu.

Unit Korporat JAIS dalam satu kenyataan hari ini, memberitahu sejak permohonan kebenaran khas majlis akad nikah dibuka pada Isnin lepas, jabatan berkenaan menerima kadar panggilan sangat tinggi daripada orang awam mengenai perkara tidak berkaitan.

Menurut kenyataan itu, perkara tersebut menyebabkan pasangan bakal pengantin menghadapi kesukaran untuk berhubung dengan JAIS bagi mendapatkan penjelasan mengenai kebenaran khas majlis akad nikah itu yang dijalankan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagi melancarkan permohonan majlis akad nikah dengan kebenaran khas, JAIS memohon semua pihak supaya memberi laluan kepada hanya pasangan bakal pengantin yang layak dan mempunyai alasan munasabah untuk menghubungi jabatan ini.

“Sekiranya mana-mana individu memerlukan khidmat nasihat berkaitan perkara lain seperti kursus praperkahwinan, mereka boleh menghantar e-mel pertanyaan kepada [email protected],” menurut kenyataan itu.

Sumber: BERNAMA

Adib Mohd

Nur Farra