Siakap Keli
Gambar: Bernama

KKM Kesan Kluster Baharu Dari Pengerang, Dipercayai Aktiviti Kunjung-Mengunjung Sehari Sebelum PKP Fasa 1

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenalpasti satu kluster baharu Covid-19 yang bermula di Pengerang, Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks kluster berkenaan merupakan kes ke-1508 yang mula mengalami gejala pada 12 Mac.

“Beliau telah dirawat di sebuah klinik swasta pada 16 Mac dan disyaki sebagai  menghidap demam denggi. 

Pada keesokan hari, beliau telah merentas beberapa buah negeri untuk mengunjungi sanak saudara  di sekitar Selangor sebelum pulang ke Pengerang pada 18 Mac,” katanya seperti memetik laporan Bernama .

Tambah Dr Noor Hisham, keadaan kesihatan pesakit itu mula merosot dan dimasukkan ke  Hospital Sultanah Aminah, Johor pada 20 Mac dalam keadaan yang kritikal dan beliau seterusnya disahkan positif jangkitan COVID-19 pada 22 Mac.

Setakat 22 April, sebanyak 15 kes positif telah dikenalpasti melalui kluster tersebut di mana jangkitan telah melibatkan rakan sekerja dan ahli keluarga pesakit yang menetap di negeri lain.

Daripada jumlah itu, 10 orang merupakan rakan sekerja pesakit dan lima orang adalah ahli keluarga termasuk ibunya yang berusia 79 tahun dan anak perempuannya berusia 10 tahun.

Difahamkan, jangkitan dipercayai berpunca daripada aktiviti kunjung mengunjung yang berlaku sehari sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebanyak tujuh kes daripada kluster ini masih dalam rawatan manakala lapan kes lagi telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj.

Manakala tiga kes di dalam kluster ini telah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Setakat hari ini, terdapat 31 kluster Covid-19 yang aktif di Malaysia. Kluster yang paling tinggi adalah dari kluter BBIM di Kluang, Johor, di mana terdapat sebanyak 183 kes positif.

Daripada jumlah tersebut 80 kes kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan empat kematian telah direkodkan.

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.