Siakap Keli
Gambar: Bernama

PKP: Melaka Benarkan Semula Majlis Akad Nikah

Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) hari ini bersetuju untuk membenarkan semula majlis akad nikah di negeri ini bermula hari ini, setelah ia ditangguhkan pada akhir bulan lepas bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

JAIM menerusi kenyataan hari ini berkata bagaimanapun majlis akad nikah itu perlu mengikut garis panduan yang disediakan jabatan itu dan garis panduan itu berkuat kuasa hari ini sehingga tiga bulan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

“JAIM ingin menegaskan keutamaan bernikah hanya diberi kepada pemohon yang mendapat Kebenaran Berkahwin (Borang 4) dan Catatan Daftar Perkahwinan (Borang 5) daripada Pejabat Agama Islam Daerah di negeri Melaka sebelum PKP bermula.

“…dan juga pasangan yang mempunyai alasan yang munasabah dan mendesak serta diberi kebenaran khas oleh pihak JAIM,” menurut kenyataan itu.

Pada 22 Mac lepas, JAIM menerusi kenyataan berkata majlis akad nikah bermula pada hari tersebut hingga 31 Mac atau tarikh lanjutan PKP hendaklah ditangguhkan bagi mengelak kemudaratan lebih besar berdasarkan trend semasa peningkatan kes positif COVID-19. PKP mula dikuatkuasakan 18 Mac lepas.

Menurut JAIM, kebenaran majlis akad nikah dalam tempoh PKP dan tiga bulan selepas tamat PKP itu diberikan sebagai satu langkah bagi mencegah perkara yang boleh membawa kerosakan dan keburukan.

“Bagaimanapun keperluan mengadakan akad nikah ini juga hendaklah mengikut arahan pemerintah daripada semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, menurut garis panduan disediakan JAIM, beberapa perkara penting telah digariskan bagi pasangan untuk mengadakan akad nikah tersebut antaranya diadakan di premis dibenarkan JAIM seperti Pejabat Agama Islam Daerah; diadakan pada tarikh, hari dan waktu ditetapkan JAIM.

Tetamu yang dibenarkan hadir terdiri daripada Pendaftar Nikah Cerai Rujuk Kanan atau jurunikah ditetapkan; pengantin lelaki dan perempuan; dua saksi pegawai JAIM; seorang wakil pengantin lelaki dan seorang wakil pengantin perempuan.

Selain itu susun atur meja dan kerusi juga hendaklah dengan jarak ditetapkan iaitu sekurang-kurangnya satu meter antara yang hadir; dan tempoh majlis adalah 20 minit sahaja termasuk bacaan taklik dan khutbah nikah.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right