Siakap Keli

“Saya Penat Masuk Ke Bilik Itu, Melihat Pesakit Mati,” Jururawat Di AS Menangis Dedah Keadaan Di ICU

Para barisan hadapan atau frontliner di seluruh dunia kini sedang giat berusaha dalam membendung penularan wabak COVID-19.

Namun ada juga cabaran dan dugaan yang kita tidak ketahui disebalik usaha mereka ini.

Baru-baru ini, tular di laman sosial Twitter berkenaan luahan seorang jururawat di Amerika Syarikat meluahkan perasaannya sepanjang bekerja di wad ICU.

Melalui perkongsian AJPlus itu, jururawat bernama D’Neil Schmall memberitahu yang dia penat apabila masuk ke bilik pesakit dan melihat mereka tidak sempat diselamatkan.

“Saya menangis sepanjang perjalanan balik di dalam Uber malam ini, sehinggakan pemandu tersebut bertanya jika saya okay,” kata D’Neil.

“Saya tidak fikir yang orang faham betapa tertekannya kerja ini. Saya tidak akan tukar kerja ini dengan apa-apa yang ada di dunia ini, tetapi ia sangat tertekan,” kata D’Neil sambil mengalirkan air mata.

“Saya berharap yang orang ramai faham atau beri kami sedikit rehat. Semua orang sedang berusaha.”

“Saya rasa seperti tidak ada orang yang boleh saya luahkan. Saya tidak boleh hubungi ibu saya kerana dia akan risau tentang saya. Dia tidak pernah mahukan saya bekerja dalam bidang ini,” katanya lagi.

“Saya tidak boleh hubungi kakak-kakak saya sebab saya tidak mahu mereka tertekan.”

Menurut AJPlus lagi, para jururawat di AS juga pada masa ini sedang berdepan dengan kekurangan kelengkapan perlindungan.

“Semua orang sedang risaukan keadaan para pesakit dan saya sangat memahaminya. Jika kakitangan tidak melakukannya dengan baik, siapa yang akan merawat pesakit?”

“Saya rasa bahagian paling sedih ialah secara jujurnya saya merasakan yang tidak ada orang yang peduli. Tiada orang yang peduli dengan apa yang kami rasa sebab ianya adalah tugas kami,” luah D’Neil lagi.

Sumber: AJPlus

Adib Mohd

Nur Farra