Siakap Keli
Foto: Agensi

(Video) ”Nurse” Protes Depan White House Minta Kerajaan Sediakan PPE, Laung Nama 50 Jururawat Dah Terkorban

Beberapa jururawat daripada National Nurses United (NNU) menjalankan protes di hadapan bangunan White House, Amerika Syarikat (US) pada Selasa, mendesak agar kerajaan menyediakan alat perlindungan peribadi (PPE) dengan lebih banyak untuk kegunaan petugas kesihatan dalam memerangi COVID-19 di negara itu.

Seorang jururawat dari Pusat Hospital Washington, Erica Jones berkata, “Kami berada di sini kerana rakan setugas kami hampir mati,”

“Buat masa sekarang, saya berasa orang fikir kami adalah hero. Tetapi kami berasakan, kami seperti ditinggalkan di medan perang tanpa apa-apa.

“Dan saya rasa kita perlu beri perhatian dan cakna apa yang jururawat, doktor dan semua petugas kesihatan perlukan sekarang,” katanya kepada agensi NBC News.

Mereka dalam himpunan protes itu mendesak presiden, Donald Trump agar mematuhi Akta Pembuatan Pertahanan; memastikan segala bekalan bagi pekerja kesihatan mencukupi, termasuklah topeng muka jenis N95, penghadang muka, sarung tangan serta alat bantuan pernafasan.

“Kami memerlukan benda itu untuk tugas kami,” tambahnya.

Sekumpulan jururawat daripada National Nurse United berhimpun di hadapan White House. Foto: Agensi

Selain itu, NNU juga turut mendesak Occupational Safety and Health Administration (OSHA) agar merangka satu piawaian bagi petugas kesihatan semasa dalam tempoh wabak penyakit berjangkit.

“Apa yang berlaku sekarang di hospital-hospital di seluruh negara, jururawat-jururawat ini disuruh untuk menggunakan semula topeng N95 mereka, bukan sekadar untuk tempoh satu shift sahaja, malah selama beberapa hari atau sehingga seminggu. Ini adalah tidak selamat.

“Ia bukan satu langkah untuk melindungi mereka, malah bukan juga melindungi pesakit mereka.

“Kami memerlukan standard OSHA untuk memberitahu pihak hospital bahawa tindakan mengguna semula topeng N95 adalah tidak selamat dan ia tidak boleh diterima,” luah salah seorang ahli NNU, Amirah Sequiera.

Dalam himpunan tersebut, kumpulan jururawat yang berprotes didapati berdiri di atas garisan ‘X’ yang dibuat daripada pita biru yang dilekatkan di atas lantai, menunjukkan mereka berdiri dalam keadaan menjaga jarak sosial sesama sendiri.

Difahamkan, gambar-gambar yang ditampal di papan sepanduk tersebut merupakan antara 50 jururawat yang terkorban akibat jangkitan wabak COVID-19.

Menurut laporan NBC lagi, protes tersebut menunjukkan gambaran tekanan masyarakat yang berbeza berbanding sebelum ini.

Ia datang selepas beberapa protes yang dijalankan di seluruh negara, dirancang dan dipimpin oleh beberapa kumpulan konservatif yang menuntut agar kerajaan membuka semula operasi perniagaan dan perdagangan, di mana bagi himpunan protes seperti itu, mereka tidak memakai topeng muka dan tidak menjaga jarak sosial.

US ketika ini mempunyai kadar jangkitan COVID-19 yang tertinggi di dunia dengan rekod lebih 800,000 kes serta kira-kira 45,000 kematian dilaporkan.

Sumber: Twitter, NBC

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'