Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Warga Asing, Wanita Antara 104 Individu Didakwa Ingkar PKP

Kuala Lumpur: Selain lelaki, wanita dan warganegara asing antara 104 individu yang didakwa di beberapa buah Mahkamah Majistret di sini dan Perlis hari ini atas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, 73 tertuduh termasuk empat wanita serta sembilan warga Bangladesh, Myanmar, Filipina dan Yaman dipenjara dua hari hingga dua bulan dan denda RM700 hingga RM1,000 selepas mengaku bersalah bergerak dari satu tempat ke tempat lain termasuk pergi ke majlis hari jadi rakan, keluar meminjam wang dan melepak di bengkel motosikal.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara bermula dari tarikh tangkap antara 14 dan 20 April lepas dan akan dipenjara sebulan jika gagal membayar denda tersebut.

Kesemua mereka yang berusia 21 hingga 55 tahun didakwa melakukan perbuatan tersebut di sekitar kawasan Bukit Bintang, Sungai Besi, Cheras, Taman Tun Dr Ismail, di sini antara 14 hingga 20 April lepas.

Di Mahkamah Ampang, seramai 11 lelaki  termasuk seorang kanak-kanak berusia 13 tahun dan warganegara Afghanistan dan Myanmar serta seorang wanita warganegara Indonesia didenda antara RM600 hingga RM700 atau penjara sebulan kerana keluar rumah dengan pelbagai alasan antaranya keluar membeli barang beramai-ramai, berjalan dan minum bersama rakan.

Kesemua tertuduh yang berusia antara 19 hingga 53 tahun serta seorang kanak-kanak  warganegara Myanmar itu dituduh melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berasingan di Taman Mestika, Jalan Desa 288, Kampung Tasik Permai, Pandan Mewah, Flat Dato Ahmed Razali, Taman Sri Watan, Taman Mulia, Pandan Mewah, di sini antara  9.15 pagi hingga 6.30 petang, 5 hingga 18 April lepas.

Hukuman terhadap kanak-kanak itu ditangguhkan pada 1 Julai sementara  menunggu laporan akhlak.

Di Mahkamah Majistret Selayang, enam lelaki, M.Muruga Dass ,46,  A.C.S Danesh Kumar ,36, R.Nagachandran, 31, S.Ganapathy,39,  R.Chandran ,37, dan S.Kantha Raj, 39, masing-masing didenda maksimum RM1,000 atau penjara tiga bulan kerana kerana berhimpun di dalam kawasan tempat jangkitan dengan meminum arak di Taman Garing Jaya 5, Taman Garing Jaya, Rawang di sini pada 4.43 petang, 19 April lepas.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman sama ke atas S.Kuvanesvaran, 27, Ng Kean Loong, 44, dan Ng Say Tean, 36,  serta seorang wanita berumur 28 tahun, kerana melakukan kesalahan sama dengan keluar rumah tanpa alasan munasabah di sekitar Bandar Baru Selayang dan Gombak pada 4.30 petang dan 6 petang, antara 19 dan 20 April lepas.

Lapan lagi lelaki, Md Zain Ahmad ,63, Mohd Nurfitri Abdul Aziz ,37, Shajaruddin Misbahulmunir, 36, Shawalludin Mohd Nor, 40, Roslan Dahalan ,49, Mohammad Nur Othman, 33, Muhamad Zairi Abu Bakar, 48, dan Muhamad Hanif Abdul Manap, 35, juga didenda jumlah sama kerana makan ayam beramai-ramai di belakang rumah di Kampung Sungai Kertas, Batu Caves, Gombak, di sini, pada jam 6 petang, Ahad lepas.

Kesemua mereka didakwa di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di PERLIS, dua lelaki, Muhammad Syabli Nooraldin, 21, dan Mohd Nur Aiman Noorzan, 19, dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Kangar kerana keluar dari rumah ke satu tempat jangkitan yang lain di Jalan Sungai Alor Melaka, Mukim Kurung Anai pada 16 April.

Mereka bersama seorang lagi lelaki, Saiful Amar Md Ros, 35, juga dihukum penjara enam bulan kerana menyimpan harta curi iaitu sebuah motosikal milik seorang wanita OKU.

Kesemua mereka melakukan kesalahan itu di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan denda.

Mahkamah memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 16 April lepas.

Sumber: Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.