Siakap Keli

325 Anggota KKM Positif COVID-19, Catat Tiga Kematian – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 23 April — Seramai 325 anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dikesan positif COVID-19  sehingga ini dan daripada jumlah itu tiga kes kematian telah dicatatkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bilangan kes warga KKM yang positif dijangkiti wabak itu bersamaan 5.8 peratus daripada jumlah kumulatif kes positif di negara ini iaitu 5,603 kes.

“Daripada jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 dalam kalangan anggota KKM, sebanyak 185 kes telah pulih sepenuhnya dan didiscaj; 137 kes sedang dirawat di hospital; dan tiga kes kematian.

“Kes-kes ini terdiri daripada 77 pegawai perubatan; 66 jururawat; 34 pegawai perubatan siswazah; 23 pakar perubatan; 21 penolong pegawai perubatan dan 104 lain-lain skim perkhidmatan,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19, di sini, hari ini.

Berdasarkan siasatan, punca jangkitan itu bukan disebabkan pengendalian kes yang telah disahkan positif COVID-19 di fasiliti Kesihatan KKM.

Menurut beliau, 70 peratus kes adalah berpunca daripada aktiviti persendirian misalnya menghadiri majlis keraian, pergerakan ke luar negara dan sebagainya.

Sumber: BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul