Siakap Keli
Gambar:BERNAMA

COVID-19: Cabaran Peniaga Haiwan Peliharaan Ketika PKP

KUALA LUMPUR, 23 April — Isu kebersihan dan penjagaan serta bekalan makanan yang sukar didapati merupakan antara perkara yang membelenggu pemilik perniagaan haiwan peliharaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam tempoh PKP, pemilik perniagaan perlu memastikan haiwan peliharaan mereka masih terjaga termasuk dalam soal kebersihan apatah lagi ada kes haiwan dijangkiti COVID-19 yang dilaporkan. Walaupun perniagaan mereka tidak dapat beroperasi seperti biasa, mereka juga masih perlu memastikan haiwan itu mendapat makanan yang sepatutnya.

Menurut seorang pemilik kedai haiwan peliharaan Albert Robin, 33, ketika ini beliau hanya melakukan langkah pencegahan terhadap haiwan peliharaan serta mengikut segala nasihat dan garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

“Kita risau dari segi itu (jangkitan COVID-19 kepada haiwan), kita kena jaga kebersihan dan bagi secukupnya vitamin, suplemen yang penting untuk semua haiwan peliharaan,” katanya kepada Bernama.

Albert yang menjual burung, kucing dan anjing berkata beliau juga menghadapi kesukaran bagi mendapatkan makanan untuk haiwan-haiwan itu berikutan PKP dan kini hanya berjimat dengan bekalan yang ada.

“Bekalan makanan untuk haiwan peliharaan kita masih cari kerana susah nak dapat. Kita berjimat sedikit, lebihkan kepada sayur, buah-buahan, macam makanan biji itu kita jimat,” katanya.

Ketika wabak COVID-19 berlaku di seluruh dunia menjangkiti manusia, timbul juga isu ia turut menjangkiti haiwan apabila awal bulan ini terdapat laporan media mengenai seekor harimau Malaya di Zoo Bronx, Amerika Syarikat disahkan positif COVID-19, dipercayai tersebar melalui penjaga zoo berkenaan, dan perkara itu memberi kebimbangan kepada peniaga haiwan peliharaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan orang ramai bahawa amalan kebersihan yang baik penting dalam pengendalian haiwan atau haiwan peliharaan bagi mengelak penularan COVID-19.

Sementara itu, Mohamad Syafiq Mhd Noh, 32, berkata menjaga kebersihan haiwan-haiwan peliharaannya adalah amat penting, terutama setelah membaca berita berhubung haiwan di luar negara dijangkiti COVID-19.

“Kita jaga kebersihan sahaja, contohnya kalau ada kucing luar datang, kita jangan bagi mereka berkawan. Kita ambil langkah berjaga-jaga, tidak letak binatang kita di luar, ambil langkah kebersihan dan memang tiada kontak haiwan dengan orang luar langsung,” katanya.

Mohamad Syafiq yang menjalankan perniagaan zoo haiwan jinak berkata kebanyakan haiwan peliharaan itu kini berada di rumah serta kedainya di Sungai Buloh, Selangor sahaja berikutan PKP.

Seorang lagi peniaga haiwan peliharaan Norazmeer Norazman, 28, berkata jadual hariannya kini berbeza sewaktu PKP berbanding sebelum ini.

“Waktu pemberian makanan kepada haiwan lebih awal daripada biasa kerana saya kena balik awal (kedai berdekatan rumah).

“Cuma masa PKP ini bekalan makanan haiwan susah untuk dapat kerana banyak kedai tutup,” katanya yang menjual burung dan sugar glider.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story