Siakap Keli

COVID-19: Majoriti Kes Baru Libat Penghuni Asrama Pekerja, Singapura Lepasi 11,000

SINGAPURA, 23 April — Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) telah mengesahkan 1,037 lagi kes jangkitan COVID-19 di republik itu hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 11,178.

Dalam satu kenyataan hari ini, MOH menyatakan majoriti besar kes terbabit melibatkan asrama pekerja asing, manakala hanya 12 kes melibatkan warganegara Singapura ataupun Penduduk Tetap.

Kementerian itu menyatakan, mereka masih lagi mendapatkan butiran lengkap mengenai kes-kes itu dan kenyataan yang telah dikemas kini, akan dikeluarkan malam ini.

Singapura telah melanjutkan tempoh langkah pemutus rantaian selama sebulan dan dijadualkan berakhir 4 Mei, kepada empat minggu lagi, ke 1 Jun.

Salah satu daripada objektif pelanjutan tersebut adalah, bagi mengesan dan mengekang sebarang kebocoran yang berlaku di kluster asrama pekerja kepada masyarakat, dan mengelakkan kluster baru terjadi dan merebak sehingga tidak terkawal.

Sehingga tengah hari 22 April, data yang dikeluarkan lewat Rabu, MOH telah mengenal pasti lapan kluster baru dan kebanyakannya melibatkan asrama pekerja.

Pada masa ini 21 asrama pekerja diistiharkan sebagai kawasan isolasi dengan S11 Dormitory @ Punggol, kekal sebagai kluster terbesar dengan 2,211 kes yang disahkan.

Sehingga Rabu, Singapura telah mengklasifikasikan 8,904 kes sebagai penghuni asrama, 402 melibatkan pemegang permit kerja tidak tinggal di asrama, 1,076 kes komuniti dan 569 lagi kes import.

Objektif lain pelanjutan tempoh pemutus rantaian itu adalah bagi menurunkan jumlah kes jangkitan harian lebih cepat, ke satu digit, atau kosong selain juga mengurangkan jumlah kes yang tidak berkaitan dengan kes lain.

Untuk tempoh minggu dari 15 ke 21 April, MOH berkata, mereka telah merungkai kaitan untuk 918 kes tidak berkaitan manakala untuk kes baru pada Rabu, 17 kes masih masih belum selesai pengesanan kontaknya manakala 73 peratus adalah berkaitan dengan kluster yang diketahui.

Sehingga 22 April, Singapura telah melaporkan kematian akibat COVID-19 ke-12nya, melibatkan kes 1071, seorang wani warganegara Singapura berusia 84 tahun yang meninggal dunia pada 21 April di Hospital Khoo Teck Puat.

Warga emas itu telah disahkan dijangkiti COVID-19 pada 2 April.

Sehingga kini MOH berkata, 869 telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan telah dibenarkan keluar daripada hospital ataupun pusat pengasingan komuniti, manakala 25 didalam keadaan kritikal di pusat rawatan rapi.

Sumber: BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul