Siakap Keli
Gambar Hiasan via Daily Mail

Jepun Dilaporkan Potong Lebih 100 Ribu Bunga Tulip Untuk Elak Orang Ramai Berkumpul

Pihak berkuasa Jepun dilaporkan telah bertindak memotong lebih 100,000 bunga tulip untuk mengelakkan orang ramai berkumpul beramai-ramai seterusnya mencegah penularan wabak Covid-19.

Kebiasaannya, ribuan bunga yang melitupi ladang di bandar Sakura, timur Tokyo itu akan menjadi daya tarikan buat pelancong yang ingin melihat keindahan bunga tersebut.

Namun apabila kerajaan Jepun melaksanakan langkah-langkah penjarakan sosial bagi mencegah penularan wabak Covid-19 ini, pihak berkuasa terpaksa memotong dan meranapkan keindahan kawasan padang bunga itu supaya ianya tidak lagi menjadi daya tarikan kepada orang ramai.

Pihak berkuasa Jepun juga turut dilaporkan membatalkan festival bunga tulip tahunan di ladang Sakura Furusato Hiroba.

“Secara lazimnya, ramai pengunjung akan datang pada hujung minggu ketika bunga-bunga ini mekar secara penuh.

“Ianya akan menjadi perhimpunan secara besar-besaran, dan kami tidak ada pilihan lain selain terpaksa memotong kesemua bunga ini bagi mengelakkan perkara tersebut terjadi.”

Warna merah jambu dan merah yang kebiasaannya menghiasi tanah seluas 7,000 meter persegi tersebut telah dilaporkan ‘botak’, dan kini hanya warna hijau sahaja yang terdapat di tanah tersebut.

Kebanyakan bunga-bunga yang terpaksa dipotong itu difahamkan didermakan kepada sebuah tadika tempatan.

Sebahagian daripada ladang itu kini bahkan kelihatan seakan seperti tanah lumpur kosong yang tidak ada apa-apa.

Walaupun usaha pihak berkuasa itu dalam mengekang orang ramai daripada berkumpul telah dilakukan, namun masih terdapat lagi segelintir pelancong yang masih mengunjungi ladang berkenaan.

“Sangat, sangat, sangat malang. Kecewa saya apabila melihat pemandangan seperti ini,” kata seorang pengunjung yang berusia 77 tahun.

Setakat artikel ini ditulis, negara Jepun telah merekodkan jumlah jangkitan kes sebanyak 11,950 dan 299 kematian.

Ianya menjadi titik permulaan buat Jepun dalam wabak pandemik Covid-19 apabila sebuah kapal persiaran bernama Diamond princess yang dipenuhi dengan penumpang yang dijangkiti virus Covid-19 berlabuh di Yokohama.

Sumber: Daily Mail 

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa