Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

PGA Rampas Lebih 1.8 Tan Ketum

KANGAR, 23 April  — Pasukan Gerak Am (PGA) Batalion 3 Bidor, Perak dan Batalion 18, Pengkalan Hulu, Kroh, Perak berjaya merampas  lebih 1.8 tan daun ketum bernilai RM52,140 dalam lima siri rampasan Ops Wawasan Kedah/Perlis sejak Ahad hingga semalam.

Komander Briged Utara, SAC Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata anggota PGA merampas tujuh guni putih berisi daun ketum seberat 280 kilogram (kg) bernilai RM8,400 selepas tujuh lelaki bermotosikal bertindak mencampak kesemua guni tersebut di Kilometer 24, Jalan Pauh-Padang Besar ketika dikejar oleh anggota pada jam 12 tengah hari semalam.

Dua jam selepas itu, katanya, anggota PGA merampas 24 guni putih mengandungi daun ketum seberat 511kg bernilai RM15,330 di sebuah bangsal yang dijadikan sebagai tempat pembungkusan daum ketum di Ladang Getah, Kampung Kubang Tiga, Chuping.

Dalam rampasan ketiga jam 3.45 petang, PGA merampas dua guni putih berisi daun ketum seberat 37kg bernilai RM1,110 dan sebuah motosikal jenis Honda EX5 dianggarkan bernilai RM3,800 berhampiran tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB) BKH-PB G 0936 Sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar.

“Anggota PGA terserempak dengan dua lelaki menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan dan menyedari kehadiran anggota, kedua-dua kedua suspek melarikan diri dan meninggalkan motosikal serta dua guni berisi daun ketum itu.” katanya, dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Pada Selasa lalu, anggota PGA berjaya merampas 19 guni daun ketum seberat 750kg bernilai RM45,000 dan sebuah kenderaan pancuan empat roda dianggarkan bernilai RM45,000.

Bagaimanapun, katanya, sekumpulan lelaki yang sedang memunggah beberapa guni dari kenderaan itu melarikan diri ke belukar berhampiran, katanya.

Abdul Ghani berkata pada Ahad lalu, anggota PGA menemui 14 plastik hitam berisi daun ketum seberat 210kg  dan empat guni putih mengandungi daun ketum seberat 100kg dengan nilai keseluruhan RM9,300 di sebuah bangsal tidak bernombor di ladang kelapa sawit, Kampung Kubang Tiga, Chuping.

Beliau berkata kesemua barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story