Selepas pulih dari jangkitan Covid-19, dua orang doktor di Wuhan mendapati bahawa kulit mereka telah mengalami perubahan, lapor Metro UK.
Memetik laporan Metro Uk, kedua-dua doktor itu telah dijangkiti Covid-19 semasa merawat pesakit-pesakit di Wuhan Central Hospital pada Januari.
Para doktor yang merawat berkata kedua-dua mereka perlu menggunakan alat bantuan hidup namun hasil rawatan mendapati kulit mereka berubah menjadi gelap. Warna kulit dikatakan berubah kerana ketidakseimbangan hormon yang terjadi disebabkan oleh hati mereka menjadi rosak kerana virus.
Kedua-dua doktor itu didiagnosis pada 18 Januari lalu dan dimasukkan ke Wuhan Pulmonary Hospital serta kemudian dipindahkan sebanyak dua kali.
Salah seorang doktor yang merupakan pakar kardiologi, ‘melawan’ Covid-19 itu setelah doktor memberikannya mesin sokongan hidup yang dipanggil ECMO selama 39 hari.

ECMO adalah prosedur sokongan hidup drastik yang menggantikan fungsi jantung dan paru-paru dengan mengepam oksigen ke dalam darah di luar badan.
Menurut Dr Li Shusheng yang merawat mereka, kulit kedua-dua doktor itu menjadi gelap kerana sejenis ubat yang mereka berikan pada peringkat awal rawatan mereka. Tambahnya lagi, salah satu kesan sampingan ubat adalah kegelapan warna kulit.
Keadaan seorang lagi doktor yang juga merupakan pakar urologi dikatakan lebih teruk dan terlantar sakit di atas katil selama 99 hari, lapor Metro Uk.

Beliau menjalani terapi ECMO bermula dari 7 Februari hingga 22 Mac yang lalu namun tidak dapat bercakap sehingga 11 April. Beliau masih lagi dalam rawatan intensif.
Kedua-dua doktor itu diberikan sokongan kesihatan mental kerana mereka mengalami pengalaman yang traumatik.
Sumber: Metro.Uk