Siakap Keli

UKM Bangunkan Aplikasi ‘CovidSense’ Untuk Ujian Saringan Kendiri

KUALA LUMPUR,  23 April — Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil inisiatif membangunkan aplikasi telefon pintar dengan nama ‘CovidSense’ bagi membolehkan orang ramai membuat ujian saringan kendiri dan penjejakan kontak COVID-19.

Aplikasi yang sedang diuji kegunaanya itu merupakan projek rintis yang dibangunkan oleh pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Prof. Madya Sawal Hamid Md Ali bersama pensyarah Fakulti Perubatan, Prof. Dr. Norfilza Mohd Mokhtar serta beberapa penyelidik dari Fakulti Sains dan Teknologi UKM.

Menurut Sawal, aplikasi CovidSense yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat Innosens Technology Sdn. Bhd itu adalah berasaskan teknologi pengesan lokasi GPS.

“Ia berbeza dengan aplikasi yang lain kerana CovidSense tidak mengumpul dan menyimpan maklumat dan data peribadi pengguna melainkan diberikan oleh mereka. Jadi  pengguna boleh menggunakan aplikasi ini tanpa nama,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Jelas beliau,  sekiranya pengguna memilih untuk mendaftar sebelum menggunakan aplikasi ini, lokasi pengguna akan disimpan dalam pangkalan data yang dikawal dan hanya boleh diakses oleh pihak berkuasa sahaja.

Menjelaskan fungsi dan penggunaannya, Sawal berkata pengguna boleh melakukan ujian saringan secara kendiri dengan menjawab `ya’ atau `tidak’ kepada 12 soalan yang berkaitan dengan gejala COVID-19.

Berdasarkan jawapan itu, aplikasi tersebut akan mengira skor risiko dan memaparkan risiko jangkitan kepada pengguna.

“Bagi mereka yang berkemungkinan mendapat risiko pertengahan atau risiko tinggi, pengguna boleh terus menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) melalui nombor hotline yang dipaparkan.

“Ciri penjejakan kontak dalam aplikasi ini akan digunakan apabila pengguna mengunjungi hospital atau pusat kesihatan bagi melakukan ujian saringan secara klinikal dan didapati positif,” katanya.

Lebih menarik ciri-ciri utama aplikasi ini turut memaparkan peta panas atau heat map berdasarkan bilangan kes positif untuk memudahkan pengguna mengetahui zon jangkitan dalam persekitaran mereka.

Menurut Sawal, semasa ujian klinikal ini dijalankan, sekiranya individu tersebut (pengguna aplikasi) dikesan positif, maka pihak berkuasa boleh menggunakan paparan papan pemuka yang dikawal untuk mengesan kesemua lokasi yang dikunjungi oleh pesakit untuk mengesan sebarang kontak.

Rekod pesakit dalam aplikasi ini juga akan dikemaskini dengan nombor identiti (ID) pesakit tanpa ada sebarang data peribadi lain yang akan ditambah ke dalam rekod tersebut, katanya.

Katanya, berdasarkan fail log dalam pangkalan data yang terkawal, pengesanan lokasi boleh dilakukan dan tindakan tertentu boleh diambil pihak berkuasa untuk menjalankan ujian dan mengasingkan kemungkinan kontak yang ada.

“Ciri ini juga sangat berguna untuk kes jangkitan semula. Kajian menunjukkan bahawa ada kemungkinan pesakit yang telah sembuh boleh dijangkiti semula.

“Dengan menggunakan ciri pengesanan ini melalui paparan papan pemuka dan fail log, pihak berkuasa boleh melakukan pengesanan kontak untuk kes jangkitan semula ini,” katanya.

Versi beta aplikasi ini sedang diuji secara tertutup untuk kegunaan Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) UKM setelah mendapat kelulusan jawatankuasa etika UKM untuk ujian lapangan.

Namun, katanya, orang awam hanya boleh menggunakan aplikasi ini  sekiranya mendapat kelulusan kerajaan dan pihak yang berkaitan.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.