Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

25 Rumah Di George Town Dilanda Banjir Kilat

George Town: Hujan lebat lebih sejam di Pulau Pinang telah menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air, malah kira-kira 25 buah rumah di kawasan George Town turut dilanda banjir kilat hari ini.

Hujan lebat bermula pukul 4.00 petang itu menyebabkan beberapa rumah di Kampung Dodol, Lintang P. Ramlee, Jalan P. Ramlee dan Kampung Masjid dinaiki air antara 0.1 meter hingga 0.3 meter.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata sehingga pukul 8.30 malam ini tiada penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara dan pihaknya dengan bantuan Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang sedang memantau keadaan di situ daripada semasa ke semasa.

“Berdasarkan pemeriksaan, kami mendapati 25 buah rumah kampung yang terletak di kawasan rendah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Keramat itu mengalami banjir kilat berikutan hujan lebat dan air dari Sungai Pinang yang terdapat di situ melimpah.

“Kami sedang memantau situasi semasa dan air banjir nampaknya mula surut selepas hujan renyai. Jika keadaan banjir makin teruk kita akan pindahkan mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam ini.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati penduduk di kawasan rumah mereka dinaiki banjir mula membersihkan rumah selepas air kembali surut pada pukul 7.30 malam.

Seorang penduduk, Mohamed Syukri Abdul Jamal, 36, berkata beliau dan ibu bapanya sedang menonton televisyen ketika hujan sebelum adik perempuannya memanggil mereka memaklumkan air banjir mula memasuki bahagian dapur, lalu dia terus mengangkat barangan elektrik ke tempat lebih tinggi.

“Dalam masa sama saya terus angkat ayah (Abdul Jamal Ahmad, 73,) ke tingkat atas kerana dia tidak boleh berjalan disebabkan lumpuh. Bimbang juga air banjir naik tinggi sebab rumah kami memang akan dilanda banjir jika hujan lebat. Nasib baik hujan berhenti selepas sejam,” katanya.

Menurutnya, beliau dan adiknya berusia 25 tahun mula mencuci serta mengemas bahagian dapur yang dilanda banjir kilat kerana esok mereka akan bersahur di situ.

Dalam pada itu, Pegawai Operasi Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak Fazil Mohammad berkata pihaknya akan terus memantau kawasan rendah di situ yang kerap dilanda banjir kilat jika hujan lebat berterusan.

Beliau turut menasihatkan penduduk supaya lebih berhati-hati terutama ketika hujan lebat serta diminta terus menghubungi pihak bomba untuk bantuan segera kerana pihaknya telah bersiap sedia termasuk kelengkapan logistik untuk memindahkan mangsa.

Sumber: Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.