Colombo: Sebuah kem tentera laut di pinggir ibu kota Colombo, Sri Lanka diisytiharkan sebagai zon isolasi berikutan 30 anggota didapati positif COVID-19, lapor agensi berita Xinhua.
Komander Tentera Shavendra Silva pada Jumaat berkata setakat ini, jumlah keseluruhan kes sebanyak 373.
Beliau berkata anggota tentera berkenaan dijangkiti virus itu ketika menjalankan operasi di Suduwella, Ja-Ela baru-baru ini, untuk memburu mereka yang cuba melarikan diri daripada menjalani kuarantin.
Silva berkata, semua anggota tentera laut di kem Tentera Laut Welisara perlu menjalani ujian saringan dan kem itu akan ditutup.
Kementerian Kesihatan Sri Lanka mengatakan daripada jumlah 373 pesakit seramai 107 telah sembuh dan dibenarkan discaj. Tujuh kematian dilaporkan dan 259 pesakit masih dirawat.
Perintah berkurung masih dikuat kuasa di Colombo dan di Gampaha, Kalutara dan Puttalam berikutan peningkatan kes dicatatkan di kawasan berkenaan sejak kebelakangan ini.
Polis menggesa orang ramai terus berada di rumah dan menjaga penjarakan sosial. Sekolah dan universiti di seluruh negara masih ditutup sejak bulan lalu.
Sumber: Bernama