Siakap Keli
diskaun sewa PKP
Gambar: Siakap Keli/Harith Faisal

Bagi Diskaun Tapi Tak Rugi, Tuan Rumah Kongsi Cara Berunding Sewa Rumah Dengan Penyewa Semasa PKP

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Sejak pemberian moratorium oleh bank-bank di Malaysia kepada para peminjam, ramai pihak menggesa pemilik rumah agar mengecualikan sewa kepada penyewa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Walaubagaimanapun, ia bukan suatu isu yang mudah bagi semua pihak. Ada juga antara pemilik rumah yang mempunyai halangan tersendiri sejak PKP dijalankan termasuk terjejas punca pendapatan. Pun begitu, ini tidak bermakna kata persetujuan tidak boleh dicapai antara pemilik dan penyewa.

Perunding kewangan, saudara Harith Faisal telah berkongsi caranya untuk memudahkan penyewa dalam masa sama tidak merugikan pemilik rumah. Jom baca.

“Tuan, ada diskaun sewa rumah untuk bulan ni tak?”

Soalan yang agak tak disenangi oleh tuan rumah. Tapi sebenarnya saya menunggu soalan ni ditanya oleh penyewa-penyewa, sebab saya dah ada skrip.

Tanpa banyak soal, saya terus tawar untuk strukturkan semula sewa rumah tu. Saya tau, kalau dia tanya, mestilah dia nak minta bayar kurang.

Sewa untuk April-Mei-Jun saya kurangkan 25% dan ianya akan dibayar balik sekali dengan sewaan untuk bulan Julai-Ogos-September.

Kredit: Harith Faisal

Kemudian, pada bulan Oktober sewa akan kembali kepada asal. Begitulah plan penstrukturan semula asal yang saya tawarkan kepada penyewa saya tu.

Dia reply, “Ok”

Saya rasa macam tawaran saya tak seperti yang dia harapkan. Mungkin dia harapkan saya kecualikan sewa atau bagi diskaun bukan struktur semula.

Saya tanya kat dia,

“Pendapatan tuan terjejas teruk ke masa PKP ni?”

“Haah Tuan. Saya mekanik jentera berat. Sekarang semua tutup. Jadi tak ada kerja.”

Jadi, saya pun tawarkan dia untuk diskaun 50% untuk bulan April. Niat untuk bantu. Diikuti dengan plan penstrukturan semula asal tadi untuk bulan berikutnya.

“Okay Tuan. Terima kasih. Terima kasih.”

Jelas dari balasan dia yang dia tengah gembira bila saya tawar diskaun kat dia. Semoga RM400 lebihan tu bolehlah guna untuk beli beras dan lauk.

Kredit: Harith Faisal

Macam tu lah. Situasi menang-menang.

Penyewa jangan sampai mendesak tuan rumah untuk diskaun 100%. Sebabnya ada juga tuan rumah sendiri yang terjejas pendapatan akibat PKP. Jadi, tuan rumah pun mengharap duit sewa daripada penyewa rumahnya.

Moratorium, tuan rumah tak payah bayar 6 bulan kat bank?

Bukan tak payah bayar langsung ya. Cuma ia ditangguhkan. Bank profit atau interest akan terkumpul selepas habis moratorium dan tuan rumah tetap kena bayar nanti. Sama ada tenor bertambah atau bayaran ansuran bulanan akan naik.

Ada lagi kos-kos lain yang tuan rumah kena tanggung, cukai tanah, cukai pintu, cukai taksiran, kos penyelenggaraan. Kalau kondo punya kos penyelenggaraan saja dah memang lebih RM200.

Tuan rumah pula jangan langsung tak ada budi bicara kalau penyewa minta diskaun. Bila ada rasa was-was, mintalah bukti daripada penyewa yang tunjuk gaji dia dikurangkan ke, dibuang kerja ke, bisnes bungkus ke.

Bagi saya, kalau pendapatan penyewa tak terjejas, bayar sajalah sewa macam biasa. Ada juga penyewa saya yang bayar sewa macam biasa, tak minta diskaun pun. Saya pun tak ada lah tawarkan apa-apa diskaun atau penstrukturan semula.

Jadi, senang cerita jangan ambil kesempatan. Semua orang kebanyakannya terjejas akibat COVID-19 ni. Bukan kita seorang saja. Jangan pentingkan diri sendiri okay.

Nota: Gambar tu adalah perbualan saya dengan penyewa pada 1 April 2020. Masa tu tak jangka pun PKP akan disambung sampai hujung Mei. Mungkin kena bagi diskaun sebulan dua lagi kot.

Diharap perkongsian saudara Harith Faisal ini dapat memberi idea kepada semua pemilik dan penyewa rumah untuk mencapai kata sepakat mengenai kadar sewa ketika PKP demi kebaikan bersama.

Sumber: Harith Faisal

Amira

Love yourself.