Siakap Keli
Gambar: Bernama

Pelajar Bawa Kenderaan Sendiri Dibenarkan Memandu Pulang Dengan Syarat Tidak Merentas Negeri – Ismail Sabri

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk memberikan kelonggaran perjalanan pulang bagi pelajar-pelajar IPT yang berada di kampus.

Pergerakan pulang pelajar IPT dibenarkan bermula 27 April ini dari pukul 9 malam sehingga 9 pagi. Perkara ini adalah bagi mengelakkan kesesakan dan pergerakan yang besar pada waktu siang.

Ismail Sabri berkata mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan KPT, setiap pelajar akan diambil dari kampus atau rumah sewa mereka dengan menggunakan bas dan dihantar terus ke balai polis atau pejabat daerah di kampung mereka.

“Mereka seterusnya akan dihantar ke rumah masing-masing oleh agensi-agensi kerajaan di peringkat daerah. Bermakna tiada ruang untuk mereka pergi ke tempat lain,” katanya.

Selain itu, katanya kapasiti penumpang akan dihadkan separuh daripada kapasiti sebenar bas bagi memastikan jarak sosial dipatuhi.

Bagi pelajar-pelajar yang memandu sendiri, mereka turut dibenarkan namun terhad di dalam negeri sahaja. Perkara ini bermakna mereka tidak dibenarkan merentas negeri.

Menurut beliau, pelajar juga perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak polis yang berdekatan dengan kampus mereka. Pelajar yang memandu pulang juga tidak dibenarkan untuk membawa penumpang bersama.

Bagi pelajar yang berhasrat untuk pulang ke Sabah atau Sarawak pula, Ismail Sabri berkata penerbangan pulang ke negeri masing-masing akan disediakan kerajaan dan diterbangkan ke lapangan terbang yang terdekat dengan kampung mereka.

“Seperti diputuskan Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah, mana-mana penumpang sekali pun dari Semenanjung Malaysia, mereka akan dikuarantin selama 14 hari. Termasuk pelajar-pelajar yang dihantar pulang, kecuali jika kerajaan negeri mereka menukar SOP yang ditetapkan itu,” katanya.

Walau bagaimanapun, terdapat 15 peratus dalam kalangan pelajar yang memilih untuk kekal di kampus dan tidak pulang di kampung.

“Ada yang tak berminat untuk pulang kerana mungkin mereka akan menduduki peperiksaan, ada kalangan mereka yang belajar secara online, di kampung mereka mungkin tiada internet dan sebagainya dan mereka tidak boleh mengulang kaji dan belajar secara online dan mereka berminat untuk terus kekal di kampus.”

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa