Siakap Keli

Penyokong Protes “Anti-Lockdown” Di Amerika Dilapor Meninggal Dunia, Jadi Mangsa COVID-19

Seorang lelaki di Amerika Syarikat yang merupakan seorang penyokong protes anti-lockdown di Amerika Syarikat dilapor meninggal  dunia, dipercayai menjadi mangsa COVID-19.

Mangsa, 60, meninggal dunia pada Rabu di sebuah hospital di Ohio sebelum ini pernah memuat naik di media sosial yang mendakwa virus COVID-19 adalah agenda politik dan menganggap keputusan Gabenor Ohio yang mahu menutup operasi beberapa sektor perniagaan sebagai mengarut.

Malah, mangsa juga dilaporkan pernah mendakwa bahawa ancaman COVID-19 yang diuar-uarkan di di media sebagai ‘berlebih-lebihan’.

”Tiada sesiapakah yang berani mengakui bahawa COVID-19 ini adalah agenda politik? Sekadar bertanya untuk rakan. Buktikan saya salah,” katanya seperti dilaporkan Metro UK.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan terdapat gerakan protes di beberapa negeri di Amerika Syarikat yang membantah perintah penjarakan sosial dan perintah berkurung.

Negara Uncle Sam itu merupakan negara yang mencatatkan jumlah kes positif serta kematian paling tinggi di dunia akibat pandemik COVID-19.

Sumber: Metro UK

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.