Siakap Keli
Gambar Hiasan via Google

Cederakan Mata Mangsa Untuk Elak Dikenali, Lelaki Didakwa Rogol Kanak-Kanak 6 Tahun

Polis India telah melancarkan satu gerakan memburu seorang lelaki selepas seorang kanak-kanak berusia enam tahun dilaporkan diculik serta dirogol di Madhya Pradesh.

Penyerang itu juga didakwa telah mencederakan mata mangsa supaya dirinya tidak dapat dikenal pasti mangsa.

Menurut polis, mangsa kini sedang dirawat di hospital yang terletak di bandar Jabalpur dan sedang dalam keadaan kritikal.

Insiden terkutuk itu berjaya mendapatkan perhatian Ketua Menteri, Shivraj Singh Chouhan yang menyifatkan jenayah tidak bermoral itu sebagai ‘menjijikkan’.

Polis berkata bahawa kanak-kanak perempuan itu telah diculik ketika dia sedang bermain bersama rakan-rakannya berhampiran dengan rumahnya di sebuah kampung di daerah Damoh pada petang Rabu lalu.

“Kami mendapati bahawa matanya telah dicederakan oleh suspek, yang juga turut melukakan muka mangsa. Doktor sedang melakukan pembedahan ke atas mata kanak-kanak tersebut,” kata Superintendan Hemant Chauhan kepada media.

Berikutan daripada itu, polis telah menawarkan ganjaran sebanyak 10,000 rupee untuk sebarang maklumat yang boleh membawa kepada penangkapan suspek. Supt Chauhan menyatakan beberapa suspek telah disoal siasat dan pihak polis berharap penangkapan suspek dapat dibuat dengan segera.

Rogol dan jenayah seksual sering menjadi topik utama di India semenjak tragedi seorang gadis diperkosa beramai-ramai serta dibunuh di dalam sebuah bas di New Delhi berlaku pada tahun 2012 yang lalu.

Kes tersebut telah mencetuskan protes secara besar-besaran bagi menuntut supaya undang-undang berkenaan jenayah rogol di negara itu diubah. Ini kerana, tiada tanda-tanda reda terhadap jenayah yang dicatatkan berlaku kepada golongan wanita dan kanak-kanak perempuan di negara itu.

Menurut angka kejadian jenayah baru-baru ini, setiap mangsa keempat jenayah rogol di India adalah merupakan kanak-kanak dan sebahagian besar kes pula membabitkan penyerang yang dikenali.

Pada Februari lalu, seorang lelaki berusia 25 tahun telah ditangkap kerana disyaki merogol seorang kanak-kanak berusia lima tahun di premis kedutaan Amerika Syarikat di Delhi.

Pada November pula, kes rogol dan bumuh seorang doktor haiwan yang berusia 27 tahun di Hyderabad menarik perhatian global dan mencetuskan kemarahan banyak pihak.

Sumber: BBC

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa