Siakap Keli
Gambar Hiasan via Google

Lelaki Mahu Pukul Ibu Guna Cangkul Selepas Diganggu Ketika Tidur

PARIT, 25 April (Bernama) — Berang diganggu ketika tidur, seorang lelaki nekad hendak memukul ibunya menggunakan sebatang cangkul dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Jalan Ulu Dedap, Kampung Gajah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Barudin Wariso berkata dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, suspek yang berumur 32 tahun dan bekerja sebagai pembantu di kedai makan milik ibunya turut memukul dua adik perempuannya menggunakan penyapu.

Katanya, kejadian berlaku apabila suspek sedang tidur di atas katil di ruang rehat rumah sebelum seorang adiknya berumur 15 tahun mahu menyapu ruangan itu.

“Suspek tiba-tiba marah dan mengambil sebatang penyapu lalu memukul mangsa pada bahagian punggung sebanyak tiga kali sebelum seorang lagi adiknya berumur 19 tahun dipukul pada bahagian lutut juga menggunakan penyapu kerana mahu meleraikan pergaduhan.

“Tidak puas dengan itu, suspek mengambil sebatang cangkul dan menghalakannya kepada kedua-dua mangsa tetapi dimarahi ibunya sebelum mahu memukul ibunya pula menggunakan cangkul itu, tetapi berjaya dielak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Barudin berkata suspek yang merupakan anak kedua daripada sembilan beradik kemudian mengambil sebuah kerusi dan mahu membaling ke arah ketiga-tiga mangsa, namun tidak berbuat demikian dan meletakkan kembali kerusi itu dengan perasaan marah.

“Ibu suspek yang merupakan seorang ibu tunggal telah membuat laporan polis sebelum anak lelakinya itu yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah direman empat hari bermula hari ini,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Barudin berkata pihaknya sedang mengesan seorang lelaki berumur 42 tahun yang dipercayai menetak adik kandungnya sendiri sebanyak lima kali pada bahagian tangan kiri menggunakan parang di sebuah rumah di Kampung Kota Setia, Teluk Intan, dekat sini, semalam.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira pukul 7.00 malam itu, mangsa yang berumur 38 tahun dan merupakan pemilik bengkel motosikal luka pada jari tangan kiri, lengan kiri, kaki kiri serta belakang badan dan telah menjalani pembedahan kecil di Hospital Teluk Intan.

“Kejadian berpunca daripada pertengkaran mulut antara kedua-dua beradik itu selepas suspek memarahi ibu mereka sehingga menangis,” katanya.

Barudin berkata usaha mengesan suspek yang bekerja di sebuah syarikat jenama sukan di Subang sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 dan 326A Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story