Siakap Keli
Gambar: Bernama

Kerajaan Akan Bela Rakyat Dalam Sebarang Situasi – Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) — Kerajaan memberi jaminan akan membela rakyat dalam sebarang situasi sekalipun negara sedang berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 ketika ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kebajikan rakyat sentiasa diutamakan dan pelbagai strategi telah diatur bagi memastikan tiada rakyat terpinggir dalam mendapatkan bantuan sewajarnya sewaktu tempoh tersebut.

“Langkah yang kita ambil ini akan memberi impak kepada memelihara kehidupan mereka supaya menjadi lebih sejahtera dan terjamin. Apa tujuan kerajaan, kalau bukan untuk membantu, membela rakyat…  ini keadaan yang paling utama, dalam mana-mana kerajaan sekalipun.

“Dan usaha mesti dibuat secara bersungguh-sungguh supaya kesan daripada langkah yang kita ambil itu dapat bantu membaiki kehidupan mereka,” katanya dalam temu bual khas yang disiarkan di RTM, Astro Awani, TV3 dan Bernama TV malam ini.

Beliau berkata Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan baru-baru ini tidak mengecualikan mana-mana kumpulan kategori kerana semua rakyat terjejas akibat COVID-19.

“Kalau dilihat dalam pakej rangsangan itu, jumlahnya besar, tetapi saya kira, tidak terkecuali…baik dalam golongan berpendapatan rendah (B40), perniagaan, individu ataupun kumpulan, mereka ada dapat bahagian daripada itu, kumpulan M40 pun ada di situ,” katanya.

Pada 27 Mac lepas, Muhyiddin mengumumkan PRIHATIN sebanyak RM250 bilion dengan matlamat melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi dalam menghadapi kesan pandemik COVID-19.

Selepas itu, Perdana Menteri mengumumkan pula pakej rangsangan ekonomi tambahan bernilai RM10 bilion bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Mengulas mengenai perancangan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat selepas tamat tempoh PKP, Muhyiddin berkata kerajaan tidak akan membiarkan ekonomi negara runtuh bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada rakyat.

“Kita tidak boleh biar keadaan itu runtuh kerana dengan sebab (adanya) kegiatan ekonomi, kerajaan memungut cukai, tetapi jika bisnes sudah rosak ataupun rugi, mana pendapatan kerajaan untuk membiayai segala bentuk keperluan rakyat,” tambahnya.

Sumber: BERNAMA