Siakap Keli
Gambar: Bernama

Ramadan Ketika PKP Pupuk Sikap Masyarakat Bersederhana – Mufti Melaka

Menjalani ibadat pada bulan Ramadan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mampu memupuk sikap bersederhana ketika melakukan segala urusan dalam kalangan masyarakat, kata Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil.

Beliau berkata suasana sambutan bulan suci itu yang amat berbeza tahun ini dapat mengajar masyarakat untuk menjadi pengguna lebih bijak dan tidak terlalu kedekut serta tidak terlalu membazir ketika berbelanja.

“Kita bermuhasabah, sebelum ini biasanya ketika Ramadan kita membuat persiapan menyambut Syawal termasuk pakaian, makanan dan perhiasan rumah, begitu juga hidangan berbuka puasa dan (berbelanja di) bazar Ramadan yang kadang-kadang di luar kemampuan.

“Tetapi Ramadan kali ini memberikan kita satu peluang keinsafan yang mana kita berhadapan dengan ujian besar dan cara penyelesaian terbaik adalah bersederhana dalam kehidupan,” katanya ketika menyampaikan Kapsul Ramadan di Facebook Jabatan Mufti Negeri Melaka di sini hari ini.

Katanya meskipun pada bulan Ramadan umat Islam disunatkan berbelanja lebih dan melakukan banyak amalan bersedekah, ia perlu dikawal dan jangan sampai ke tahap berlebihan sehingga ada yang dibuang begitu sahaja.

Abdul Halim berkata justeru, masyarakat diingatkan agar merancang perbelanjaan diri dan keluarga serta mengambil peluang dalam tempoh PKP dengan memperbanyakkan amalan terpuji dan ibadat serta bersedekah.

“Namun COVID-19 tidak mengizinkan kita bebas, mungkin ia boleh dilakukan dalam kalangan keluarga atau saluran tertentu serta kaedah menyantuni jiran tetangga dalam kita memanfaatkan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT.

“Paling penting, jadilah pengguna yang bijak dan pengguna Muslim yang tahu meletakkan keutamaan bagi keperluan diri dan keluarga,” katanya.

Beliau juga berkata masyarakat perlu merancang perbelanjaan, bersederhana dan mengelak pembaziran.

Katanya, jika ingin bersedekah, mereka perlu memastikan rezeki yang ingin dikongsi diperoleh daripada sumber yang halal serta memberikannya kepada mereka yang memerlukan dengan cara halal.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right