Siakap Keli

148 Mangsa Banjir Di P. Pinang Dipindahkan Di Dua PPS

BUKIT MERTAJAM, 27 April  — Hujan lebat yang berlarutan di kawasan Juru, di sini semalam menyebabkan rumah penduduk di beberapa lokasi rendah dinaiki air sehingga 0.5 meter dan seramai 148 orang terpaksa dipindahkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka lewat malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh berkata PPS pertama di Sekolah Kebangsaan (SK) Juru, di sini dibuka pada pukul 11 malam yang menempatkan sembilan keluarga.

“Mereka yang dipindahkan di situ terdiri daripada 33 orang termasuk dua bayi masing-masing lelaki dan perempuan. Pemindahan semua mangsa banjir diuruskan oleh Angkatan Pertahanan Awam bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata PPS kedua di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) True Light di Perkampungan Juru pula dibuka pada 11.45 malam dan seramai 115 orang daripada 27 keluarga termasuk dua ibu mengandung ditempatkan di situ.

Menurutnya, petugas turut mengambil suhu badan mangsa bagi memastikan semua mereka tidak demam dan setakat ini mangsa yang dipindahkan ke PPS tersebut dalam keadaan sihat selain mereka diletakkan mengikut penjarakan sosial bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Ketika ini, cuaca di kawasan Bukit Mertajam dan Juru dalam keadaan baik serta banjir telah surut.

Hujan lebat lebih dua jam di Pulau Pinang semalam telah menyebabkan banyak kawasan di negeri itu dilanda banjir kilat dan beberapa buah rumah di daerah Seberang Perai Utara (SPU) turut mengalami kerosakan akibat ribut.

Hujan lebat yang turun bermula pukul 3 petang menyebabkan kawasan di Kepala Batas, Permatang Buluh, Lahar Yooi, Nyior Sebatang, Sungai Dua, Machang Bubok, Tasek Gelugor, Simpang Ampat, Bagan Ajam dan Merbau Kudung dinaiki air antara 0.1 hingga 0.5 meter.

Sumber: BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul