Seekor biri-biri yang dipercayai hilang dalam kebakaran besar di Pulau Tasmania, Australia pada 2013 lalu telah dijumpai semula, baru-baru ini.
Seorang peladang, Alice Gray berkata, haiwan tersebut ditemui di kawasan rumahnya ketika mereka sekeluarga sedang membuat aktiviti barbeku.
“Apabila kami melihatnya, kami berfikir ‘apakah ia?’
“Pada 2013 lalu, semua kawasan berpagar di ladang berkenaan telah terbakar dan saya percaya, biri-biri itu terperangkap dalam semak-samun di bahagian belakang ladang ketika pagar itu dibina semula,” katanya kepada pemberita BBC, seperti yang dilaporkan portal Metro.co.uk.

Dalam pada itu, Alice menambah, beliau tidak tahu akan kewujudan biri-biri itu yang masih hidup.
“Bagaimanapun, kami mempunyai firasat mengenainya kerana beberapa kamera dipasang pada waktu malam untuk melihat sama ada terdapat kelibat rusa (di kawasan ladang).
“Namun pada satu malam, kami melihat sesuatu yang seakan bola besar dan gebu datang mendekati lensa kamera lalu kami merasakan ada makhluk di luar sana,” jelasnya lagi.
Menurutnya, biri-biri tersebut digelar dengan nama Prickles kerana dikaitkan dengan ‘penampilannya’ yang cantik, serta berbulu tebal bagaikan ‘duri’.
“Dia (Prickles) akan tinggal bersama kami sepanjang hayatnya dan menikmati kehidupannya dengan bahagia,” kata Alice.

Sumber: Metro.co.uk