Siakap Keli

Gunting Rambut Semasa PKP, 13 Lelaki Termasuk Tukang Gunting Dicekup Polis

BUTTERWORTH, 27 April — Polis menahan 13 lelaki termasuk seorang tukang gunting rambut di dalam sebuah kedai gunting rambut di Jalan Mengkuang, di sini kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam Ops COVID-19 hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam serbuan pukul 3.30 petang itu, tukang gunting rambut tersebut sedang leka menggunting rambut pelanggannya manakala 11 lagi lelaki yang berada dalam premis tersebut sedang menunggu giliran.

“Polis menerima maklumat daripada orang ramai terdapat sebuah premis yang beroperasi secara tersembunyi untuk pelanggan mendapatkan perkhidmatan menggunting rambut dan semasa serbuan kami dapati terdapat 13 lelaki di situ,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, mereka mengaku datang ke kedai itu untuk menggunting rambut dan kesemua lelaki termasuk tukang rambut, berusia antara 20 dan 40 tahun, ditahan kerana ingkar arahan PKP.

Beliau berkata selain 13 lelaki itu, polis turut menahan 20 individu lagi secara berasingan dalam Ops COVID-19 di sekitar daerah SPU kerana ingkar arahan PKP.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan (11)1 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.