Seramai 790 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) akan berlepas dari sembilan pusat pelepasan yang terdiri daripada IPT sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya untuk pulang ke kampung halaman malam ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, pergerakan pelajar ke 17 destinasi di tiga buah negeri di utara tanah air akan bermula dari pusat pelepasan pada pukul 9 malam.
“Penghantaran pertama dalam negara pada malam ini melibatkan 50 buah bas yang telah disanitasi, 32 bas daripadanya menuju ke Kedah, 13 bas ke Pulau Pinang dan lima (5) bas lagi ke Perlis.
“Seorang wakil keluarga akan menjemput pelajar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau Pejabat Daerah yang telah dikenal pasti, manakala bagi keluarga yang tidak dapat menjemput, penghantaran akan diuruskan oleh agensi kerajaan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sembilan pusat pelepasan tersebut ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Teknologi Malaysia cawangan Kuala Lumpur (UTM KL), Universiti Sains Islam Malaysia cawangan Kuala Lumpur (USIM KL) dan Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Mengulas lanjut, Noraini menambah, taburan pelajar IPTA yang berlepas adalah seperti berikut; UIAM (89 orang), UKM (150), UM (164), UPM (80), UiTM Shah Alam (146), UPNM (50), UTM KL (49), USIM KL (31) dan Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (31).
“Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk membenarkan pergerakan pelajar dari kawasan zon hijau ke kampung halaman (juga) dalam zon hijau secara berperingkat bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi halaman Facebook memuat naik beberapa keping gambar keadaan persiapan pergerakan tersebut.
Difahamkan, para pelajar akan mendaftarkan diri di pusat pengumpulan pelajar di Universiti Malaya terlebih dahulu sebelum dihantar pulang.






Sebahagian pelajar IPTA dan IPTS, Politeknik dan Kolej Komuniti bagi Zon Tengah yang terkandas akibat #COVID19,…
Posted by Majlis Keselamatan Negara on Monday, 27 April 2020
KENYATAAN MEDIAPELAJAR IPT PULANG KE KAMPUNG HALAMAN MULAI MALAM INISeramai 790 orang pelajar Institusi Pendidikan…
Posted by Dato' Dr. Noraini Ahmad on Monday, 27 April 2020
Sumber: KPT, Majlis Keselamatan Negara