GEORGE TOWN, 27 April — Sindiket penipuan ‘Macau Scam’ terus aktif ‘menjerat’ mangsanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila seorang jurutera wanita kerugian RM40,000 selepas ditipu sindiket itu yang mendakwa mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram dan penyeludupan dadah.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A Anbalagan berkata wanita berusia 27 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang pegawai mendakwa dari Mahkamah Tinggi Alor Setar ketika mangsa berada di tempat kerjanya di Bayan Lepas, dekat sini pada 11.30 pagi Sabtu dan memberitahu dia terlibat dalam jenayah itu.
“Panggilan mangsa kemudiannya disambungkan kepada seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis dan mendakwa pemeriksaan serta rekod pihaknya mendapati wanita itu terlibat kes pengubahan wang haram serta penyeludupan dadah.
“Mangsa diarahkan untuk memberikan maklumat perbankan dalam talian oleh pegawai polis itu dan jika enggan bekerjasama dia boleh ditangkap kerana terdapat waran atas nama wanita tersebut sebelum mangsa memberikan maklumat yang diperlukan itu,” katanya dalam kenyataan, di sini malam ini.
Menurutnya, wanita itu hanya menyedari ditipu selepas membuat semakan akaunnya dan mendapati simpanannya sebanyak RM40,000 telah dipindahkan ke akaun milik seorang lelaki sebelum mangsa bertindak membuat laporan polis.
Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan sindiket serta pemilik akaun yang digunakan untuk memindahkan wang dari akaun mangsa dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sumber: BERNAMA