Gambar: BERNAMA

Lapan Lelaki Ditahan Bersama Senjata, Dadah Di Ulu Tiram

JOHOR BAHRU, 28 April — Lapan lelaki ditahan bersama pelbagai senjata, dadah dan wang tunai di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, awal pagi semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am, Supt Dimin Awang berkata mereka yang berusia antara 27 dan 48 tahun itu ditahan dalam serbuan pada pukul 2.00 pagi, ketika sedang berkumpul di lokasi berkenaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui pelbagai senjata berjadual terdiri daripada senapang jenis air soft jenama Sharp Innova, dua bilah pedang samurai, kerambit, pisau bertombak, 86 biji pil Eramin 5 serta wang tunai berjumlah RM700,000.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan ialah RM853,990,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kesemua lelaki yang ditahan itu diserah ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 36 Akta Senjata 1960, Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 Dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit 2020.

Sumber: BERNAMA

Adib Mohd

Editor: Adib Mohd