Siakap Keli

Menyamar Sebagai Petugas Kesihatan, Seorang Lelaki Ditahan Dalam Sekatan Polis

Seorang lelaki ditahan semalam dalam satu sekatan jalan raya (SJR) Op COVID-19 di Plaza Tol Gurun, Kedah semalam kerana didapati menyamar sebagai petugas kesihatan.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Kedah menerusi Facebook berkata, pihak berkuasa menahan sebuah kereta jenis BMW 22Oi yang dinaiki lelaki terbabit pada pukul 6.30 petang dalam kejadian tersebut.

“Pihak berkuasa telah meminta dokumen perjalanan atau kad pekerja tetapi beliau menunjukkan pelekat khas ‘Petugas Kesihatan’ yang berada di cermin hadapan kenderaan berkenaan.

“Beliau juga gagal menunjukkan sebarang dokumen ataupun kad pekerja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” jelas kenyataan tersebut, hari ini.

Kiri, individu berkenaan yang ditahan. Kanan, pelekat khas Petugas Kesihatan yang ditampal hingga tiga tampalan di cermin hadapan. Gambar: Facebook

Bagaimanapun kenyataan tersebut menambah, pemeriksaan telah dilakukan ke atas lelaki terbabit dan tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.

“Penama gagal memberikan keterangan munasabah untuk melakukan pergerakan meninggalkan alamat kediaman.

“Penama didapati telah melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Akta 324),” tambah kenyataan itu lagi.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil kesempatan memalsukan dokumen atau menyalahgunakan pelekat khas kenderaan ‘Petugas Kesihatan’ yang dikeluarkan.

Sumber: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Kedah

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.