Siakap Keli

Selamat Pulang Pelajar IPT, Teruskan Patuh PKP

KUALA LUMPUR, 28 April  — Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 3 yang berakhir hari ini menyaksikan rayuan pelajar Institusi Pengajian (IPT) untuk pulang ke kampung serta individu yang terkandas di kampung untuk kembali ke kediaman masing-masing didengar dan dipenuhi kerajaan.

Perjalanan sejumlah 1,128 pelajar IPTA dan IPTS dari zon hijau untuk pulang ke kampung halaman masing-masing, yang juga berada dalam zon hijau, bermula malam tadi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, seramai 863 pelajar dihantar pulang dari zon tengah ke zon utara malam tadi manakala 265 lagi akan dihantar pulang dari zon utara ke zon tengah pada malam ini.

Sebahagian pelajar dijangka tiba di ‘drop-off point’ pada kira-kira 9 pagi ini dengan hanya seorang ahli keluarga yang mempunyai kenderaan dibenarkan mengambil pelajar itu.Bagi mereka yang tiada kenderaan, pihak barisan hadapan akan menghantar pelajar terus ke rumah masing-masing.

Pastinya ibu bapa adalah insan paling gembira setelah hampir dua bulan tidak bertemu anak-anak mereka selepas PKP dilanjutkan bagi memutuskan rantaian COVID-19 di negara ini.

Di sebalik kegembiraan itu, nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) jangan diabaikan.

Pelajar dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi langkah-langkah pencegahan seperti mengamalkan jarakan sosial yang selamat iaitu berada dalam jarak sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain serta menjaga kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan dengan air dan sabun.

Pelajar juga digalakkan memakai penutup mulut dan hidung di sepanjang perjalanan.

Bagi mereka yang terkandas di kampung, permohonan untuk pergerakan rentas negeri yang dibuat dalam aplikasi Gerak Malaysia mulai 25 April hanya akan diketahui keputusannya pada 1 Mei.

Selepas itu barulah perbincangan lanjut akan diadakan bagi penjelasan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pergerakan mereka dari kampung ke bandar semula.

Perlu diingatkan bahawa kelonggaran itu hanya untuk mereka yang terkandas di kampung yang ingin kembali ke rumah masing-masing dan bukannya untuk mereka yang ingin pulang ke kampung.

Hari ini juga, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang di Johor akan ditamatkan.

Bagi PKPD di Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor yang melibatkan pusat tahfiz dan sebuah rumah yang sepatutnya tamat hari ini, akan dilanjutkan sehingga 5 Mei.

Semalam, kes pulih COVID-19 di Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif apabila mencatatkan jumlah dua kali ganda daripada bilangan kes baharu yang dilaporkan.

Kes baharu yang dicatatkan pula ialah 40, iaitu mengekalkan trend penurunan kepada angka dua digit sejak dua minggu lalu.

Namun seperti yang biasa dilaungkan ‘wira’ barisan hadapan kita, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, ia bukan isyarat untuk kita alpa kerana perjuangan belum selesai.

Pada tahap ini, kepatuhan rakyat terhadap PKP amat ditagih bagi menjayakan usaha untuk memastikan bahawa rantaian COVID-19 di negara ini benar-benar dapat diputuskan secara total.

Apa yang perlu dilakukan rakyat Malaysia kini ialah terus berada di rumah sambil mengamalkan jarakan sosial jika perlu keluar dari rumah dan sentiasa menjaga kebersihan dengan kerap membasuh tangan menggunakan air serta sabun.

Berilah kepercayaan kepada barisan hadapan melakukan tugas mereka dan sinar bahagia pasti akan menjelma semula.

Sumber: BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul