Seorang lelaki berusia 27 tahun yang berasal daripada Serdang Bedagai, Indonesia berjaya ditangkap pihak polis selepas dia didakwa bertindak nekad merogol seorang nenek yang berusia 75 tahun.
“Dari hasil pemeriksaan, suspek mengaku telah merogol mangsa secara spontan dan tidak merancangnya,” kata Ketua Polis daerah Serdang Bedagai, AKBP Robin Simatupang.
Suspek disyaki melakukan perbuatan terkutuk itu di Sei Rampah, Sergai, pada hari Rabu (22/4). Polis menyatakan bahawa, tindakan suspek bertindak sedemikian adalah kerana suspek sudah sebulan tidak berjumpa dengan isterinya.

Kejadian tersebut berlaku ketika suspek ternampak mangsa sedang tidur. Suspek kemudiannya masuk ke dalam bilik tersebut sambil memakai penutup muka.
“Tiba-tiba sahaja suspek memasuki bilik tidur mangsa sambil memakai penutup muka dan seterusnya mengikat mulut mangsa dengan kain,” kata Robin.
Mangsa dilaporkan sempat mengecam wajah suspek yang tidak ditutup sepenuhnya. Selepas kejadian tersebut, mangsa telah mengadu kepada anaknya bahawa dia telah menjadi mangsa rogol.

Mangsa kemudiannya terus melaporkan kejadian tersebut di balai polis. Selepas daripada itu, pihak polis telah menjalankan siasatan dan akhirnya berjaya menangkap suspek. Setelah ditangkap, suspek dikatakan mengakui perbuatannya itu. Dia juga turut menerangkan secara ringkas alasan kepada perbuatannya itu.
“Saya melakukannya secara spontan, ketika itu saya sedang membaiki pam air yang terletak di belakang rumah mangsa. Kemudian saya ternampak mangsa tidur terbaring dengan baju yang terselak,” kata suspek ketika disoal siasat.
“Sudah sebulan saya tidak berjumpa dengan isteri saya kerana faktor ekonomi dan baru kali ini saya dapat kerja sebagai penjaga jentera berat,” tambahnya.
Atas tindakannya itu, dia bakal dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun sekiranya didapati bersalah.
Sumber: Detik News