Berikutan pertambahan bilangan kes Covid-19 di kawasan Bhavani Peth di wilayah Pune, India, masyarakat Islam negara itu mengambil inisitif memberikan masjid untuk dijadikan sebagai pusat kuarantin.
Pusat pendidikan ‘Azam College of Education’ yang merupakan institut pendidikan muslim, telah menawarkan dewan masjid di dalam kampus itu untuk menempatkan pesakit suspek Covid-19.
Difahamkan, Pune mengalami kekurangan fasiliti susulan terdapat ratusan individu yang disyaki dijangkiti wabak pandemik tersebut di wilayah berkenaan.
Dewan seluas 9,000 kaki persegi di dalam Masjid Azam itu juga sudah melakukan penyediaan rapi bagi menerima pesakit suspek Covid-19 seramai 80 orang.
Malah, menurut Presiden ‘Azam College of Education’, Dr PA Inamdar, mereka turut merancang memberikan lagi pelbagai lokasi kepada kerajaan India untuk digunakan sebagai pusat kuarantin.
Tambah beliau, walaupun makanan pesakit suspek Covid-19 disediakan oleh pihak kerajaan, tetapi mereka bersedia membantu menyediakan sarapan pagi dan dua lagi makanan tambahan.
Selain itu, buku juga akan dibekalkan kepada pesakit di dalam fasiliti untuk mengisi masa terluang mereka dengan membaca.
Pegawai daerah Pune, Naval Kishore Ram, berkata, kerajaan bersetuju menggunakan masjid di dalam kampus itu sebagai salah satu pusat kuarantin suspek Covid-19.
”Kami telah meminta sebuah kawasan yang luas dan terbuka untuk dijadikan pusat kuarantin di bandar ini.
”Kampus Azam salah satu fasiliti yang ditawarkan kepada kami dan setelah melakukan pemeriksaan, kami akan menggunakan tempat tersebut,” kata beliau.
Sumber: Pune Mirror