Siakap Keli

Lebih 70% Kematian Kes COVID-19 Di Malaysia Hidap Penyakit Lain – Pakar

KUALA LUMPUR, April 29 — Lebih 70 peratus kes kematian COVID-19 di Malaysia mempunyai satu atau lebih penyakit tidak berjangkit (NCD), kata seorang pakar perubatan senaman Prof Dr Lee Chee Pheng.

Beliau berkata risiko dijangkiti COVID-19 lebih tinggi pada orang yang lemah imunnya dan dalam keadaan kronik seperti masalah jantung dan paru-paru serta diabetes.

“Tekanan emosi, kurang tidur dan keletihan fizikal, boleh menjadikan seseorang itu mudah terkena penyakit berikutan imun yang lemah.

“Terdapatnya faktor risiko NCD seperti penggunaan tembakau, ketidakaktifan fizikal, diet tidak sihat dan penggunaan alkohol yang berbahaya semasa kanak-kanak dan remaja mempunyai kaitan yang signifikan dengan perkembangan penyakit pada masa dewasa,” kata beliau dalam kolumnya yang disiarkan di Bernama.com

NCD kini menjadi pembunuh utama di dunia dan menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (https://www.who.int/gho/ncd/mortality_morbidity/en/), daripada 56.9 juta kematian global pada 2016, sebanyak 40.5 juta atau 71 peratus disebabkan oleh NCD.

Dr Lee berkata selain menjaga diet yang sihat dengan makanan yang meningkatkan imuniti dapat membantu melawan jangkitan, aktiviti fizikal serta pemakanan juga boleh meningkatkan sistem imun.

Beliau memetik garis panduan WHO pada 2010 (https://www.who.int/dietphysicalactivity/factsheet_adults/en/), yang menyatakan seorang dewasa berusia 18 hingga 64 tahun perlu melakukan sekurang-kurangnya 150 minit seminggu aktiviti fizikal (PA) aerobik intensiti sederhana atau 75 minit setiap minggu PA aerobik intensiti tinggi atau gabungan setara PA intensiti sederhana dan tinggi.

“Malaysia mempunyai 36.9 peratus orang dewasa yang tidak aktif secara fizikal. Tahap tidak aktifnya lebih tinggi dalam kalangan wanita (50 peratus) berbanding lelaki (24.7 peratus),” katanya.

Mengenai pengambilan makanan, beliau berkata makanan yang kaya dengan Vitamin C, D, dan E dapat meningkatkan sistem imun badan melalui peningkatan sel-sel yang melawan jangkitan.

“Antioksidan dalam Vitamin C dan E berperanan penting dalam mengawal jangkitan dan fungsi sistem imun badan. Juga, menjaga tubuh agar tetap terhidrasi dan tidur yang cukup dapat membantu dalam membendung penyakit ini. Namun, perlu diingat bahawa apa yang berfungsi dalam memerangi COVID-19 itu sendiri masih belum diketahui,” katanya.

Dalam catatannya, Dr Lee turut mengetengahkan kajian oleh Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit China yang membuat kesimpulan bahawa orang tua yang sudah mempunyai penyakit lebih cenderung terkena COVID-19 (https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/need-extra-precautions/people-at-higher-risk.html).

Beliau berkata di Itali, hampir satu perempat (23 peratus) rakyat negara itu berusia lebih 65 tahun, dengan ramai daripada mereka berpenyakit seperti hipertensi dan masalah pernafasan yang menyebabkan mereka dijangkiti COVID-19.

Analisis kes COVID-19 di Amerika Syarikat menunjukkan kadar kes kematian (CFR) tertinggi pada mereka yang berusia 65 tahun ke atas, yang menunjukkan risiko penyakit dan kematian.

Katanya, berdasarkan laporan Misi Bersama WHO-China mengenai Penyakit Coronavirus 2019, individu yang berisiko tinggi adalah mereka yang berumur 60 tahun ke atas dengan mempunyai satu atau lebih penyakit lain seperti hipertensi, diabetes, penyakit kardiovaskular serta penyakit pernafasan kronik.

Sementara itu, satu kajian mengenai pesakit COVID-19 yang dirawat di Wuhan mendapati hampir separuh daripada kes (48 peratus) menderita akibat penyakit kronik. Daripada jumlah kes tersebut, 30 peratus menghidap hipertensi, diikuti oleh diabetes (19 peratus) dan penyakit jantung koronari (lapan peratus).

— BERNAMA

Nur Farra