Siakap Keli

Pelajar Matrikulasi Labuan Jalani Saringan Kesihatan Sebelum Pulang Ke Kampung

LABUAN, 29 April — Sebanyak 2, 341 pelajar Kolej Matrikulasi Labuan (LMC) hari ini mula menjalani ujian saringan COVID-19, sebelum dibenarkan pulang ke kampung halaman minggu depan, kata Pengarah LMC Mohd Idris Omar.

Syarat wajib itu dditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Kerajaan Sabah

Mohd Idris berkata kolej itu mempunyai 2, 876 pelajar berdaftar tetapi 535 pelajar telah pulang pada 19 Mac lepas.

Katanya pelajar berasal daripada Sabah merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 1,945 diikuti  860 pelajar daripada Sarawak, Labuan (67), Kuala Lumpur (dua) dan masing-masing satu daripada Terengganu dan Johor.

“Setiap pelajar diwajibkan menjalani saringan dan hanya mereka yang sihat akan dibenarkan pulang ke kampung halaman manakala yang tidak sihat (mengalami demam, batuk, selesema, simptom seperti selesema atau sesak nafas) akan dirawat oleh petugas kesihatan Labuan di sini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Idris berkata sekurang-kurangnya 10 buah bas telah disewa untuk mengangkut pelajar dari Labuan ke pelbagai destinasi di Sabah.

“Bagi pelajar daripada Sarawak dan Semenanjung yang memerlukan penerbangan, kami sedang berusaha menempah tiket penerbangan untuk mereka dan kami berharap ibu bapa pelajar bersabar kerana penerbangan dari Labuan ke Kuala Lumpur dan Sarawak amat terhad,” katanya.

Mohd Idris berkata LMC dikategorikan sebagai kawasan zon hijau COVID-19.

Sumber: BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul