Siakap Keli
Gambar: Bernama

398 Majikan Di Johor Mohon Pemberhentian, Potongan Gaji Pekerja Sepanjang PKP

Seramai 398 majikan di Johor telah membuat permohonan pemberhentian atau pengurangan gaji melibatkan seramai 15,597 pekerja sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan, berkata ia merangkumi pemberhentian tetap melibatkan 1,443 orang, pemberhentian sukarela seramai 180 orang, pemberhentian sementara seramai 2,864 orang manakala 11,110 orang menerima pengurangan gaji.

Menerusi satu kenyataan di sini, hari ini, beliau berkata bagi memastikan majikan mematuhi peraturan semasa PKP, Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor telah mewujudkan Skuad Khidmat Cepat (SKC) dalam pengendalian aduan secara bersama dengan Jabatan Keselamatan & Kesihatan Pekerja (JKKP).

Antara langkah-langkah yang diambil termasuk menghubungi majikan yang diadu bagi memberi nasihat untuk mematuhi Akta 342 Pencegahan dan Pengawal Penyakit selaras dengan soalan lazim (FAQ) Kementerian Sumber Manusia yang diedarkan kepada orang ramai pada 19 Mac 2020.

“Sekiranya majikan masih gagal mematuhi arahan itu, Pasukan Petugas Khas (PPK) hendaklah memanggil majikan untuk hadir ke pejabat bagi tujuan pematuhan arahan yang dikuat kuasa dan sekiranya majikan masih ingkar arahan, PPK dikehendaki membuat lawatan ke atas premis majikan dan jika perlu boleh melibatkan pihak Polis Diraja Malaysia dalam menguatkuasakan Akta 342,” kata beliau.

Vidyananthan berkata selaras dengan Seksyen 63 Akta Kerja 1955, pihak majikan diwajibkan untuk mengemukakan sebarang penyata perihal pekerja sama ada pengambilan atau pemberhentian pekerja melalui borang yang disediakan.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right