Siakap Keli
Kredit: Google

Jangkiti Lebih 3 Juta Penduduk Dunia, Ini 3 Teori Bila Wabak COVID-19 Akan Berakhir

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Pasti setiap orang ternanti-nanti berakhirnya pandemik COVID-19 yang telah membunuh ratusan ribu nyawa di seluruh dunia. Bahkan, virus ini telah menyerang segenap ceruk dunia hinggalah di penempatan terpencil orang asli Yanomami di hutan Amazon, Brazil.

Dengan jumlah pesakit yang melebihi 3 juta orang serta dilaporkan mempunyai 30 mutasi strain, ramai yang tertanya-tanya; Bilakah ianya akan berakhir?

Justeru, kami bawakan kepada anda 3 teori yang dikongsikan Hello Doktor, ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli untuk pengetahuan semua. Mari baca.

Terdapat beberapa teori yang telah dikemukakan berkenaan dengan subjek ini.

Teori 1: Tiada pengakhiran bagi wabak COVID-19

tamat covid-19
Kredit: Google

Kadar penularan wabak COVID-19 adalah sangat cepat. Ia berkait rapat dengan nilai R-naught (R0) iaitu jumlah individu sihat yang boleh dijangkiti oleh virus tersebut daripada seorang yang berjangkit.

Kini, nilainya masih berada di antara 2 hingga 3.

Ini bermakna seorang individu berjangkit boleh menyebarkan COVID-19 kepada 2-3 individu yang sihat pada satu masa.

Terdapat seorang pesakit di Hospital Wuhan yang telah menyebarkan jangkitan tersebut kepada lebih 57 individu lain. Perkara ini menempatkan COVID-19 sebagai virus yang lebih mudah berjangkit berbanding dengan virus sindrom pernafasan akut teruk (SARS) dan virus sindrom pernafasan timur tengah (MERS).

Menurut Dr Amesh Adalja, Pakar Penyakit Berjangkit dari Universiti Hopkins, berkemungkinan ia tidak mempunyai penghujungnya.

Walau bagaimanapun, perkara ini tidak semestinya bermaksud wabak COVID akan menjadi lebih teruk.

Terdapat 2 kemungkinan berkaitan dengan hal itu:

Seperti jangkitan influenza, COVID-19 berpotensi untuk menjadi jangkitan bermusim. Maknanya, vaksin dan ubat antiviral bagi mereka yang mengalami simptom teruk memainkan peranan penting.

Jangkitan COVID masih ada namun ia tidak akan menyebabkan simptom teruk. Ini boleh berlaku jika ia mengalami proses mutasi yang menurunkan keupayaannya menyebabkan simptom teruk.

Teori 2: Kadar jangkitan COVID-19 berkurangan dengan sendirinya

covid-19 berakhir
Salah seorang pesakit COVID-19 yang telah sembuh. (Kredit: Xinhuanet)

Perkara yang pernah berlaku ketika wabak SARS suatu ketika dahulu boleh berulang dengan COVID-19. Kedua-duanya berasal dari keluarga sama.

Terdapat pakar yang meramalkan wabak COVID akan menemui nasib sama seperti SARS. Ia akan perlahan-lahan menjadi kurang agresif dan akhirnya lenyap.

Usaha memutuskan rantaian jangkitan perlu dilakukan secara aktif bagi memastikan COVID-19 dapat dikawal dan penularannya dapat dihentikan.

Oleh sebab SARS tidak seagresif wabak COVID-19, langkah yang diambil itu berkesan dengan cepatnya. Mungkin perkara ini sukar bagi wabak COVID-19 apabila kita lihat keupayaannya untuk merebak kepada individu lain dengan mudah.

Namun, ia tidak mustahil.

Jika tindakan yang sama ditambah dengan amalan jarak sosial terus dilakukan oleh individu di segenap penjuru dunia, kita bakal menyaksikan penurunan kes sepesat ia sedang meningkat sekarang.

Sampai satu tahap, ia akan menunjukkan corak penurunan yang lebih kurang sama dengan kes influenza H1N1, virus Zika dan SARS.

Jangkitan tersebut masih wujud di persekitaran namun kadar penularannya tidak tinggi seperti pada peringkat permulaan wabak.

Teori 3: Vaksin dan ubat antiviral tersedia untuk melawan wabak COVID-19

covid-19 berakhir
Kredit: Al-Jazeera

Banyak syarikat di serata dunia yang sedang giat berusaha menyediakan vaksin dan ubat antiviral virus korona yang selamat digunakan oleh orang awam.

Gilead, salah sebuah syarikat farmasi terbesar di Amerika Syarikat, mempatenkan ubat antiviral remdesivir dan Malaysia merupakan salah satu negara yang akan menggunakan ubat tersebut dalam fasa ujian klinikal.

Syarikat-syarikat terkemuka di dunia seperti Johnson & Johnson dan Novavax sedang bertungkus lumus menyediakan vaksin wabak COVID.

Namun, ia memerlukan sekurang-kurangnya satu tahun sebelum disahkan selamat untuk kegunaan umum. Ini kerana fasa ujian klinikal bagi vaksin mempunyai beberapa peringkat. Saintis perlu melihat kepada pelbagai aspek seperti keberkesanan dan kesan sampingan ubat.

Perlumbaan senjata farmakologi ini baik bagi menjaga kebajikan kesihatan sejagat, namun, pelaksanaannya tidak boleh dibuat secara gopoh. Setiap aspek keselamatan dan keberkesanan perlu diberikan perhatian.

Kini, senjata paling berkesan yang boleh kita gunakan bagi melawan wabak COVID adalah amalan cuci tangan secara kerap dan jarak sosial.

Sumber: Hello Doktor, Worldometer

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.