Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Jururawat Rugi RM12,614, Ditipu Macau Scam

Kepala Batas: Lagi penjawat awam ditipu Macau Scam dan kali ini seorang jururawat kerugian RM12,614 selepas diperdaya oleh sindiket itu yang mendakwa wanita tersebut terbabit dalam kes penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram dalam kejadian di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Noorzainy Mohd Noor, berkata wanita berusia 35 tahun itu pada mulanya dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Razlan dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang yang memaklumkan mangsa terbabit dalam kes jenayah.

“Seterusnya panggilan itu disambungkan kepada seorang lelaki mendakwa sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor konon dari IPK Pulau Pinang dan memaklumkan kepada mangsa terdapat waran tangkap atas namanya kerana terbabit dengan sindiket penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram.

“Lelaki itu turut mengarahkan jururawat tersebut memindahkan semua wang milik mangsa ke akaun diberikan suspek kononnya untuk disiasat oleh Jabatan Audit Negara dan pegawai polis berkenaan juga mengugut sekiranya tidak mengikut arahannya wanita itu akan ditangkap,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata mangsa yang bimbang ditahan polis segera membuat pemindahan wang sebanyak RM7,114 dan RM5,500 ke dua akaun bank diberikan lelaki mengaku pegawai polis berkenaan pada Selasa.

Noorzainy berkata mangsa kemudiannya diarahkan oleh suspek hadir di IPK Pulau Pinang semalam untuk berjumpa dengan Sarjan Razlan kononnya bagi menyelesaikan kes yang dihadapinya, namun sebaik berada di situ tiada anggota yang nama seperti dimaklumkan kepadanya.

“Jururawat itu kemudiannya menceritakan apa yang berlaku kepada pihak polis di situ dan mereka menyuruhnya membuat laporan polis kerana percaya mangsa telah ditipu sindiket Macau Scam. Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian itu. Kes disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket Macau Scam.

Semalam seorang guru di Kepala Batas kerugian RM205,000 selepas wanita itu ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa maklumat peribadi mangsa telah digunakan untuk pendaftaran talian judi atas talian (online).

Sumber: Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.